KOTA TINGGI: Pembinaan Jambatan Kota Tinggi ‘bypass’ (laluan FT003) di sini dijangka siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan pengguna jalan raya menjelang 28 Julai, tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, jambatan sedia ada akan dirobohkan selepas jambatan baharu tersebut mula beroperasi.
Katanya, setakat ini peratusan siap projek tersebut adalah 85.5 peratus.
“Projek ini telah mula dilaksanakan sejak 10 September 2020, dengan sasaran awal siap pada 2023, namun tergendala susulan pandemik Covid-19 sebelum disambung semula.
“Projek ini bertujuan mengatasi masalah banjir di laluan berkenaan susulan jambatan lama terlalu rendah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Tinggi, di sini hari ini.
Tambah Ahmad, projek yang menelan peruntukan lebih RM104 juta itu melibatkan pembinaan jambatan empat lorong dua hala sepanjang 464 meter dan selebar 22.6 meter.
“Projek ini turut melibatkan pembinaan jalan tuju berkembar empat lorong dua hala sepanjang 1,359 meter bagi kedua-dua arah,” katanya.
Sementara itu, Ahmad turut memberitahu JKR Kota Tinggi turut melaksanakan beberapa projek termasuk penyelenggaraan jalan Persekutuan sepanjang 772.91 kilometer serta jalan negeri sepanjang 135.59 kilometer.
“Selain itu, antara projek lain termasuklah pembinaan 24 projek tambahan blok sekolah yang akan menjadi perintis penempatan murid tahun enam ke darjah satu pada tahun 2027. Projek ini perlu disiapkan dalam tempoh enam bulan,” katanya. – UTUSAN










