YAN: Mempelam harumanis keluaran negeri ini dijenamakan semula sebagai Harumanis D’Aman sebagai salah satu usaha menambah nilai komersial bagi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah menjenamakan buah tersebut selari dengan Pelan Pembangunan Pertanian Negeri Kedah 2021-2025 yang turut memfokuskan kepada program pembangunan harumanis di negeri ini.
Katanya, di Kedah terdapat beberapa kawasan yang telah dikenal pasti cukup sesuai untuk ditanam dengan harumanis antaranya di Kubang Pasu dan Padang Terap.
“Setakat tahun ini, keluasan tanaman harumanis di negeri ini seluas 98.7 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 65 metrik tan dan bilangan petani terlibat pula kira-kira 213 orang.
“Peningkatan keluasan tanaman itu dijangka meningkat di tanah seluas 200 hektar dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah menyasarkan jumlah pengeluaran dapat ditingkatkan hingga 600 metrik tan semusim menjelang 2025,” katanya selepas merasmikan penjenamaan semula mempelam tersebut di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Yan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, ketika ini kuantiti Harumanis D’Aman sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Kualitinya bagi saya cukup baik malah permintaannya juga amat tinggi. Insya-Allah kita akan meluaskan kawasan tanaman bagi membolehkan lebih ramai petani mendapat manfaat daripadanya,” katanya. – UTUSAN