TEMERLOH: Berbekalkan semangat dan komitmen tinggi terhadap warisan bangsanya, seorang gadis Jakun, Norasimah Sidek, 33, mengetengahkan budaya dan identiti masyarakat Orang Asli suku Jakun menerusi penghasilan buku Tempok Pelendong Ang.
Lebih dikenali sebagai Shima Sidek, graduan jurusan Seni Halus dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, ilham menghasilkan buku tersebut tercetus daripada rasa keprihatinan terhadap perubahan gaya hidup masyarakat Jakun yang semakin dilupakan generasi muda.
“Menggunakan seunit kamera, saya merakamkan aktiviti budaya, persekitaran dan gaya hidup masyarakat Jakun untuk dikongsi bersama masyarakat luar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Shima, tempok merujuk kepada hiasan kepala tradisional diperbuat daripada daun mengkuang atau daun kelapa, pelendong bermaksud semangat, manakala ang merujuk kepada dirinya.
“Dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud ‘tempok semangat saya’. Tempok bukan sekadar hiasan, tetapi lambang penyambut tetamu dan maruah bagi masyarakat kami, sepertimana tanjak dalam budaya Melayu,” ujarnya.
Anak jati Kampung Mikang berdekatan Kampung Aur, Bukit Ibam, Pahang itu mula bergiat dalam bidang dokumentasi sejak bergelar mahasiswa pada awal 2000-an, apabila terdetik merakam dan mendalami kehidupan masyarakatnya sendiri.
Katanya, pengalaman di universiti membuka mindanya untuk mengambil langkah bermakna dalam mengangkat martabat sosial masyarakat Orang Asli, khususnya suku Jakun melalui warisan budaya dan seni mereka.
Buku Tempok Pelendong Ang merupakan hasil kerjasama Shima bersama seorang rakan, Jeffrey Lim yang menghimpunkan foto-foto asli berkaitan kehidupan masyarakat Jakun termasuk seni kraftangan, adat resam, pakaian tradisional serta aktiviti harian.-UTUSAN










