Jenazah Dr. Ainul selamat dikebumikan

Jenazah Dr. Ainul selamat dikebumikan

KAMARUDIN Salleh (empat, kiri) menyiramkan air ke pusara Dr. Ainul Baraah di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jenazah pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang maut dalam nahas helikopter Perkhid­matan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Kedeper, di sini semalam.

Jenazah Allahyarham dise­madikan pada pukul 2.20 petang selepas solat jenazah diimamkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Lebih 1,000 penduduk termasuk suami, keluarga, saudara mara dan masyarakat setempat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allah­yarham di masjid ber­kenaan.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan tersebut de­ngan menaiki van.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Dr. Ainul Baraah dan keluarga dibawa pulang ke Kelantan menggunakan pesawat pe­ngangkut C-130H Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia.

Jenazah bersama ahli keluarganya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11.21 pagi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham dan Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah disolatkan selepas solat Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri.

Solat jenazah diimamkan oleh Penolong Imam Bahagian Miri, Ustaz Mohamad Ardy Putera Zainudin disertai kira-kira 300 jemaah.

Turut terlibat dalam pengurusan jenazah kedua-dua mang­sa ialah Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Miri, Ustaz Rafaee Morshidi.

Selepas selesai solat dan urusan penghormatan terakhir, ke­dua-dua jenazah dibawa ke Kargo Lapangan Terbang Miri untuk proses penghantaran ke kampung halaman masing-ma­sing.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di Long Lellang, Marudi, Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×