KUALA NERUS: Bermula sebagai nelayan pantai dengan hanya sebuah bot kecil ketika berusia 19 tahun, Rusdi Mamat kini bergelar nelayan laut dalam dengan memiliki aset mencecah jutaan ringgit hasil kerja keras dan ketabahan dalam dunia perikanan laut.
Kejayaan luar biasa itu membolehkan Rusdi, 55, yang berasal dari Kampung Batin, di sini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nelayan Jaya Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam industri perikanan negara.
Rusdi yang kini merupakan nelayan laut dalam berkata, kerjaya tersebut diwarisinya daripada arwah bapanya, Mamat Muda yang juga seorang nelayan pantai.
“Kini, hasil kerja keras dan pengalaman lebih tiga dekad, saya berjaya memiliki dua buah Bot C dan tiga buah Bot A dengan nilai keseluruhan lebih RM2 juta.
“Dulu kami hanya ada bot kecil dan jadi nelayan pantai. Alhamdulillah, berkat usaha, saya dapat ubah nasib keluarga. Saya anak kedua daripada 12 beradik. Selepas arwah ayah tiada, saya teruskan perjuangan dan libatkan empat adik-beradik lain untuk turut serta sebagai tekong,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Empat adik-beradik yang bersamanya dalam operasi laut dalam ialah Sapri, 57; Mohd. Rusdan, 53; Mohd. Fazli, 49, dan Mohd. Azizi, 38 dengan mereka menguruskan operasi harian kelima-lima bot nelayan milik keluarga yang kini menggaji lebih 20 awak-awak.
Rusdi berkata, anugerah itu adalah pencapaian tertingginya sepanjang bergelar nelayan laut dalam dan menjadi pemangkin untuk terus menyumbang kepada pembangunan industri perikanan negara.
Katanya, sokongan padu isterinya, Wan Norhayati Wan Zainal, 50, dan keluarga turut menjadi sumber kekuatan dan semangat dalam menempuh pahit manis kehidupan sebagai nelayan laut dalam.
Menurutnya, setiap bot turun ke laut selama seminggu bagi menangkap hasil dengan purata hasil tangkapan boleh mencecah satu tan netrik dengan anggaran nilai sekitar RM10,000 bagi setiap perjalanan.
Katanya, antara cabaran utama yang dihadapi adalah persaingan daripada bot nelayan asing yang sering menceroboh kawasan perairan negara.
“Sekarang gangguan makin kurang, jadi hasil tangkapan pun lebih baik. Ini sangat membantu nelayan seperti kami untuk mengekalkan pendapatan dan operasi,” ujarnya.
Selain bergantung kepada hasil laut, Rusdi turut mengusahakan perkhidmatan sewa bot bagi aktiviti sukan memancing laut dalam dengan pakej empat hari lima malam yang dikenakan bayaran sekitar RM15,000, lengkap dengan permit daripada Jabatan Laut Wilayah Timur.-UTUSAN










