KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu menguasai dan memanfaatkan bidang kecerdasan buatan (AI) tanpa mengorbankan nilai agama, akhlak dan sahsiah diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat yang mengetepikan teknologi AI berisiko tercicir dalam arus perubahan dan kemajuan dunia.
Bagaimanapun katanya, menguasai teknologi AI bukan bererti mengambil sepenuhnya fahaman atau segala acuan yang datang dari negara asing dan Barat.
“Jangan kerana mengejar ilmu dan teknologi baharu, kita meninggalkan akhlak serta sahsiah. Perubahan dan kemajuan tidak seharusnya menyebabkan kita lari daripada semangat serta nilai yang menjadi pegangan kita.
“Pada masa sama, kita perlu kembali kepada kejituan ilmu dengan membina kefahaman yang mendalam dan tidak mudah menerima pandangan yang mendorong kepada sikap pantas menghukum, ” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Anwar berkata, umat Islam dalam masa yang sama tidak boleh meminggirkan turath, iaitu khazanah keilmuan yang diwarisi daripada ulama terdahulu hanya kerana kermunculan tokoh atau pemikiran baharu.
Dalam pada itu, Anwar berkata pendekatan dakwah dalam kalangan umat Islam mesti dicetuskan dengan semangat kasih sayang, bukan dengan sikap mendabik dada agar dapat membawa manusia kembali kepada kefahaman, akhlak terpuji dengan berasaskan rahmah
“Dakwah yang berteraskan rahmah bukan sekadar slogan atau keadaan biasa, sebaliknya mempunyai makna yang sangat mendalam.
“Dalam suasana dunia yang semakin hiruk-pikuk dan penuh perpecahan, kita perlu memastikan dakwah tidak menyebabkan manusia semakin jauh dan tersasar, “jelasnya. – UTUSAN











