KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengarahkan semua projek perumahan berskala besar harus dilengkapi sekolah dan pusat kesihatan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua projek perumahan juga akan dipantau rapi oleh kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Datuk Bandar bagi memastikan segala pembinaan berteraskan konsep Madani dipatuhi.
“Projek perumahan berskala besar melibatkan sekurang-kurangnya 3,500 unit perlu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pendidikan dan pusat kesihatan.
“Selain itu, pemantauan itu juga perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan bebas daripada sebarang unsur komisen serta rasuah,” katanya katanya ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Residensi AMAN Madani di Bandar Sri Permaisuri, di sini semalam.
Menurut Anwar, dalam merealisasikan projek perumahan tersebut, kerajaan tidak mahu mana-mana jabatan terpalit dengan urusan komisen dan rasuah.
Sehubungan itu, beliau berharap pentadbiran hari ini benar-benar dapat dibersihkan dan jika mahu bersih, jangan pula menjadi lembab.
“Ini tidak boleh berlaku. Saya beri contoh, rakyat yang menunggu rumah. Ada projek perumahan di sebuah negeri, sehingga lapan tahun masih belum siap. Inilah yang mesti kita perbaiki,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan sebanyak satu juta unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan seramai mungkin rakyat mendiami kediaman yang selesa dan selamat melalui pelbagai inisiatif.
Ia akan dilaksanakan di bawah program Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah serta Program Perumahan Mampu Milik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pemaju swasta.
Dalam pada itu, Anwar turut memberi teguran terhadap pemaju hartanah yang gagal menyediakan prasarana asas seperti sekolah bagi keperluan penduduk dalam projek perumahan berskala besar.
“Kalau sekolah jauh, tadika tiada, bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak? Ini bukan soal kecil. Semua ini mesti diberikan perhatian serius,” katanya.
Sementara itu, mengenai isu Palestin, Anwar berkata, Malaysia terus mendapat kepercayaan dunia Islam untuk mendepani usaha diplomatik bagi menghentikan kekejaman dan genosid yang masih berterusan di Palestin.
Perkara itu dizahirkan oleh Perdana Menteri dalam satu panggilan telefon bersama Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian yang memuji pendirian tegas dan konsisten Malaysia terhadap penderitaan rakyat Gaza.
“Beliau turut menggesa agar Malaysia terus mendepani usaha diplomatik dalam menentang kekejaman dan genosid yang masih berterusan di bumi Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Menurut Perdana Menteri, beliau memberi jaminan bahawa komitmen Malaysia dalam isu Palestin kekal konsisten, bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa, malah turut digerakkan melalui kerjasama erat dengan pemimpin serantau dan global.
“Kita telah menggembleng kerjasama bersama pemimpin Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan bagi memperkukuh tekanan terhadap rejim Zionis. Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan,” tegas beliau.
Tambah beliau, perbualan itu turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
Presiden Pezeshkian juga menyampaikan jemputan rasmi kepada Anwar untuk mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat sebagai simbol kesediaan Iran mempererat hubungan diplomatik dengan Malaysia. – UTUSAN










