Generasi muda penjawat awam selesa berbahasa asing 

Generasi muda penjawat awam selesa berbahasa asing 

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah), Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu dan peserta sempena Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjawat awam khususnya generasi muda lebih selesa menggunakan bahasa asing sebagai medium perantaraan ekoran arus globalisasi yang semakin pesat mengubah lanskap penggunaan bahasa Melayu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, justeru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mencari satu intervensi menyeluruh bagi menarik minat generasi itu mencintai bahasa berkenaan.

Katanya, DBP dan institut penerjemahan haruslah bbertindak pantas memainkan peranan dinamik dalam aktiviti penterjemahan khususnya bidang sains dan teknologi  di negara-negara seperti Jepun, Korea dan China.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya organisasi penterjemah sedia ada segera bertindak secara proaktif terhadap bahan ilmuan dalam bidang sains dan teknologi untuk digunakan sebagai sumber rujukan. 

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperluas dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai medium pengantaraan dalam bidang sains dan teknologi,” katanya ketika menyampaikan ucapan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Simposium itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Mohd. Shafiq berkata, satu kajian dilakukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini mendapati, hampir semua kementerian dan agensi kerajaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan rasmi.

“Bagaimanapun perkara itu terkecuali kepada  hanya agensi terlibat secara langsung dengan hal ehwal antarabangsa seperti Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.

Namun beliau kemudian menegaskan bahawa organisasi perkhidmatan awam sangat komited dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu ini kerana mahu meninggikan kedaulatan bahasa itu.

“Dalam usaha mencapai kegemilangan bahasa Melayu, JPA dan perkhidmatan awam Malaysia khususnya amat mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri menjulang Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd. Shafiq memberitahu, adalah amat mustahil jika ada rakyat masih gagal menguasai bahasa Melayu berbanding pekerja asing.

Beliau menambah, ramai pekerja asing yang ke Malaysia boleh menguasai bahasa Melayu dalam masa yang begitu singkat kerana sangat mudah untuk dipelajari.

“Hakikat ini menjadikan amat mustahil jika masih ada warga negara yang gagal menguasai Bahasa Rasmi Malaysia ini,” jelas beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.