Eksport ayam dihentikan - PM - Utusan Malaysia

Eksport ayam dihentikan – PM

Eksport ayam ke Singapura dihentikan mulai Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kerajaan meng­ambil langkah drastik bagi meng­atasi isu bekalan ayam dan ke­naikan harga barang dengan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini.

Ketika ini Malaysia mengekport 3.6 juta ekor ayam sebulan dan ketetapan itu sehingga harga dan pengeluaran ternakan itu kembali stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu merupakan antara langkah jangka pendek yang diambil kerajaan yang diputuskan dalam mesyua­rat Kabinet semalam.

“Saya ingin menegaskan ba­hawa kerajaan tidak akan ber­kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.

Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung pada setiap Rabu telah dipercepatkan berikutan gangguan bekalan dan kenaikan harga ayam serta kos sara hidup di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

“Kerajaan juga mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam dan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam,” katanya semalam.

Ayam bulat

Sebelum ini, kerajaan memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Perdana Menteri sebelum ini memberi amaran akan menghapuskan lebih banyak AP bahan makanan bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga barangan.

Ismail Sabri semalam menyatakan rasa kesal terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

“Ketika ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan Kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat pembabitan kartel dalam isu ayam dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” tegas beliau.

Perang orang tengah

Perdana Menteri memberi amaran akan memerangi orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” katanya.

Mesyuarat Kabinet semalam juga membincangkan mengenai penanaman jagung sebagai menjadi alternatif kepada makanan ayam, pembabitan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi menternak ayam.

Peguam Negara turut serta dalam Mesyuarat Kabinet semalam dan telah menasihatkan Kabinet untuk menguatkuasakan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi menangani aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam termasuk membatalkan lesen serta merta.

Kabinet semalam juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan dan semua kementerian diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN