E-Sukan jadi acara tahunan mulai 2023 

E-Sukan jadi acara tahunan mulai 2023 

MUHAMMAD JAILANI Khamis (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik merasmikan Pertandingan E-Sukan MLBB Pahlawan Melaka 2022 di pekarangan Al-Ikhlas Gadget, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: E-Sukan akan menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan Melaka menjelang 2023, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata, bagi tujuan tersebut satu perancangan rapi perlu diatur termasuk menyediakan prasarana, tempat, pertandingan berkala hingga ke peringkat akhir.

Katanya, E-Sukan kini sudah menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik pembangunan sukan negara khususnya di negeri ini.

“Industri e-Sukan mula memperlihat perkembangan selaras dengan kemajuan teknologi dalam industri kesukanan dalam platform komunikasi seperti permainan video, telefon pintar, komputer dan sebagainya.

“Kerajaan negeri sudah merancang membangunkan sukan berkenaan tetapi perlu beberapa perincian dilaksanakan agar sukan tersebut tidak menjejaskan tumpuan golongan belia terhadap pelajaran dan sebagainya.

“Di Malaysia khususnya Melaka, perkembangan E-Sukan agak lewat jika hendak dibandingkan dengan negara maju yang lain. Tidak dinafikan E-Sukan adalah salah satu daripada sub sektor pelancongan di negeri ini dan dijangka akan menjadi salah satu penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka jika ia berkembang dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan E-Sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Pahlawan Melaka 2022 di pekarangan Al-Ikhlas Gadget, Klebang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPP), Saari Basiron dan Pengarah Pemasaran dan Jualan Glories Gadget (M) Sdn. Bhd., Muhammad Afif Zainalabdin.

Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah-langkah untuk membangunkan sukan tersebut memandangkan dalam Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan bagi pembangunan.

Jelasnya, sukan tersebut diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik pada 2017, malah ia turut dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam lalu dan Sukan Asia.

“E-Sukan diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik pada 2017 dan sudah dipertandingkan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia; Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina serta Vietnam yang berakhir baru-baru ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya