TUMPAT: “Saya dengar kira-kira 14 siri letupan bom berhampiran lokasi kejadian. Kejadian ini sungguh menakutkan penduduk setempat,” kata seorang penduduk pekan Tak Bai, Narathiwat, Thailand.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia yang mahu dikenali sebagai Che Will, 55, percaya insiden letupan bom dan kejadian berbalas tembakan yang berlaku di pekan Tak Bai melibatkan antara puak pemisah dengan anggota pasukan keselamatan di negara berkenaan.

Katanya, kejadian pukul 9 malam semalam waktu Thailand itu menyebabkan empat anggota pasukan keselamatan Thailand mengalami kecederaan manakala seorang lagi parah.
Che Will mendakwa, insiden dipercayai berpunca daripada tindakan anggota kumpulan pemisah menyerang pos kawalan milik Pasukan Polis Marin Thailand.
Dakwanya, serangan itu menyebabkan anggota pasukan keselamatan tidak dapat berbuat apa-apa kecuali melepaskan tembakan amaran ke udara bagi.
“Anggota pasukan keselamatan tidak dapat melepaskan tembakan kerana bimbang tindakan itu boleh meragut nyawa orang awam yang sedang bersantai dan menikmati makan malam di kawasan dataran terletak tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Ini adalah kejadian kedua yang disifatkan terburuk selepas insiden berdarah pada 24 Oktober 2004 yang mana 85 penduduk Islam terbunuh.
Imej penduduk yang disusun bertindih antara satu sama lain dalam trak tentera dengan tangan diikat di belakang mencetuskan kemarahan global dan kumpulan hak asasi manusia.

Kereta rosak, tiang elektrik tumbang
Menurut Che Will, dalam kejadian terbaharu ini, beberapa buah kereta mengalami kerosakan akibat insiden berkenaan selain tiang elektrik tumbang.
“Penutup kepada letupan itu berlaku pada pukul 11 malam. Mujurlah ketika kejadian saya berada di rumah yang terletak tidak jauh daripada lokasi kejadian.
“Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa tempatan menutup kawasan pekan Tak Bai buat sementara waktu bagi tujuan mengesan dan membuang sisa-sisa letupan yang dibimbangi masih ada di kawasan tersebut,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Pengkalan Kubor, di sini mendapati, beberapa siri letupan masih lagi kedengaran di kawasan pekan berkenaan.
Difahamkan, letupan itu berpunca daripada kerja-kerja memusnahkan sisa-sisa letupan yang berkemungkinan besar terdapat di kawasan kejadian.
Bukan itu sahaja, Pasukan Polis Marin Thailand dilihat turut membuat rondaan di kawasan Sungai Golok.
Selain itu, perkhidmatan feri dari Pengkalan Kubor ke Tak Bai melalui Sungai Golok turut ditutup kepada orang awam buat sementara waktu.
Terdahulu tular dalam media sosial kejadian berbalas tembakan dan letupan bom yang berlaku di pekan Tak Bai dekat Narathiwat.
Berdasarkan klip-klip video yang tular, kejadian itu menyebabkan penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Pengkalan Kubor, panik.
Menerusi video-video tersebut, penduduk di kawasan itu sempat merakam keadaan api marak yang berlaku di Tak Bai selain kedengaran bunyi tembakan kuat ekoran jarak yang dekat.
Selain itu, beberapa gambar individu tidak berbaju dipercayai anggota puak pemisah Thailand ditahan pihak berkuasa negara tersebut turut tular di media sosial.
Tiada rakyat negara ini terlibat insiden di Tak Bai
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tiada rakyat negara ini terlibat dalam insiden di Thailand itu.
Menurutnya, pihaknya sedang menunggu siasatan terperinci daripada pihak berkaitan.
“Setakat ini tiada yang mengatakan rakyat kita terlibat dengan insiden tersebut. Keadaan di negara ini keselamatannya terjamin.
“Dalam pada itu kawalan di sempadan sentiasa diperketat seperti sebelum-sebelumny,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Aidilfitri di Ibu peabat Polis Kontinjen (IPk) Kelantan di sini,semalam.

Muhamad Zaki berkata, penguatkuasaan dan kawalan dilakukan itu juga bagi membanteras elemen-elemen tidak sepatutnya masuk ke negara ini terutama yang bersempadan dengan negara jiran.
“Apabila diperketat kita mengambil kira semua termasuk kegiatan penyeludupan,memperdagangkan manusia, kontraban dan keganasan.
“Jadi sebab itu pertukaran maklumat secara sistemetik kedua-dua negara perlu supaya terancang dan semalam kita ada mengadakan perbincangan dengan pihak di sana,” katanya.
Malah, menurut beliau, polis mengambil tindakan berhati-hati meningkatkan kawalan dan mempunyai agensi lain yang terlibat untuk sama membantu mengawal sempadan.
Katanya, penduduk sekitar yang tinggal di sempadan juga adalah sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan sebarang maklumat demi keselamatan semua. – UTUSAN








