Diawasi dan diikuti hingga ke tandas - Mohd. Bakke - Utusan Malaysia

Diawasi dan diikuti hingga ke tandas – Mohd. Bakke

MOHD. BAKKE SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd. Bakke Salleh memberitahu beliau telah diawasi dan diikuti oleh salah seorang kakitangan syarikat itu pada satu majlis menandatangani perjanjian di antara Putera Turki dan 1MDB.

Jelasnya, beliau diikuti oleh individu tersebut walaupun ketika mahu ke tandas. Majlis tersebut merujuk kepada perjanjian JVCo (syarikat usaha sama 1MDB dan PetroSaudi) yang diadakan sekitar November 2009.

Bagaimanapun, ketika ditanya lebih lanjut, Mohd. Bakke memberitahu beliau tidak tahu sama ada dia akan ditahan sekiranya cuba untuk mendekati Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak).

Muhammad Shafee: Kenapa awak tidak berjumpa dengan Najib pada majlis tersebut untuk beritahu mengenai pembayaran AS$1bilion kepada dua syarikat luar walaupun ahli lembaga pengarah tidak memberikan kelulusan.

Mohd. Bakke: Saya tidak boleh berjumpa Najib sebab saya diawasi dan diikuti oleh seorang pekerja 1MDB.

Muhammad Shafee: Mungkinkah pekerja tersebut sebenarnya menjaga keselamatan awak, protokol biasa.

Mohd. Bakke: Wallahualam.

Mohd. Bakke berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib, 68, yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Terdahulu, Mohd. Bakke memberitahu beliau tidak pernah mencurigai peranan Jho Low yang dianggap sebagai orang tengah di antara Najib dan 1MDB.

Bagaimanapun, beliau mencurigai Najib apabila Ahli Parlimen Pekan itu mendesak agar perjanjian dengan PSI itu dipercepatkan sedangkan terdapat beberapa perkara penting yang masih belum dilakukan seperti memeriksa latar belakang syarikat PSI.

Beliau juga mencurigai Najib kerana bekas Perdana Menteri itu sering memberikan arahan kepada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB melalui Jho Low.

Pada prosiding sebelah pagi, Mohd. Bakke memberitahu beliau mula mengenali Jho Low sekitar 2007 apabila lelaki itu mengemukakan cadangan kerjasama dengan FGV Holdings Berhad (FGV).

Menurutnya, Jho Low dibawa untuk berjumpanya bagi membuat pembentangan mengenai tenaga boleh diperbaharui oleh bekas Yang Dipertua Dewan negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Tambahnya, ketika pembentangan dibuat beliau tidak memberikan tumpuan penuh sebaliknya hanya fokus kepada Abu Zahar.

“Saya dengar pembentangan itu pun kerana Abu Zahar. Bagaimanapun kerjasama itu tidak diteruskan kerana terdapat beberapa syarat tidak dipenuhi,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.