SEREMBAN: Umat Islam di Negeri Sembilan berdepan cabaran memastikan harta pusaka tidak menjadi `harta mati’ berikutan pemilikan yang berlapis-lapis.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, harta yang bersifat mati menyebabkan ia terbiar begitu saja tanpa dimajukan atau pun dijaga dan akhirnya diliputi belukar tanpa sebarang manfaat.
Beliau berkata, oleh itu usaha lebih berkesan perlu dilakukan agar harta pusaka menjadi sumber kekayaan dan kekuatan ekonomi kepada keluarga, waris dan umat Islam.
“Sebagaimana ungkapan adat yang begitu mendalam maknanya: `Harta pusaka harta amanah, bukan untuk dijual beli, bukan untuk dibiar mati, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah (KOPKES) 2026 bertemakan `Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita Dalam Pemilikan Harta’, di sini semalam.
Aminuddin berkata, beliau berharap konvensyen itu dapat menambah ilmu dan mencetuskan kesedaran untuk berfikir lebih jauh bagaimana tanah pusaka adat bukan sahaja dipelihara malah dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan generasi akan datang.
Dalam konteks pemilikan harta, jelasnya, Adat Perpatih meletakkan wanita sebagai pemegang amanah terhadap harta pusaka serta tanggungjawab besar dalam memastikan kelangsungan institusi keluarga dan kestabilan sosial masyarakat.
“Daripada sudut hukum syarak pula, kita difahamkan bahawa Adat Perpatih tidak pernah bersaing dengan syariat Islam. Bahkan, kedua-duanya saling melengkapi dalam semangat yang luhur, `Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah’.
“Prinsip ini menjadi asas keharmonian antara adat dan agama yang telah sekian lama menjadi kekuatan Negeri Sembilan,” ujarnya.-UTUSAN.










