KUALA TERENGGANU: Pemuda Pas membidas kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua yang mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan peluang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi turut mempersoalkan apa salahnya Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memegang jawatan berkenaan.
Kata beliau, pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang pernah dipenjara pun akhirnya boleh menjadi Perdana Menteri.
“Malah, siapa yang menerima Ahmad Zahid dan UMNO untuk membentuk kerajaan hari ini? PH dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sendiri.
“Jadi, jangan tiba-tiba Ahmad Zahid dijadikan ‘hantu’ untuk menakutkan pengundi apabila UMNO mula bercakap soal penyatuan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tony Pua dilaporkan menyeru pengundi terus menyokong PH pada PRU16 sambil mendakwa Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN akan menjadi perdana menteri jika sebaliknya berlaku.

Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, isu pada PRU16 bukan sama ada Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya, tetapi lebih besar adalah UMNO dan Pas perlu mencari titik pertemuan demi kesatuan Melayu serta Islam.
Justeru itu, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, usah biarkan persoalan siapa bakal Perdana Menteri menjadi tembok yang menghalang dua parti Melayu-Islam terbesar tersebut daripada kembali bekerjasama.
“Ahmad Zahid ke, pemimpin Pas ke atau sesiapa sahaja, soal (pelantikan) Perdana Menteri ada proses Perlembagaan. Biarlah Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan menurut Perlembagaan berdasarkan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Yang Tony Pua nampaknya takut sebenarnya mungkin bukan sangat siapa jadi PM (Perdana Menteri). Yang mereka lebih bimbang adalah apabila UMNO dan Pas kembali menemukan titik persamaan kerana mereka tahu, apabila orang Melayu berhenti bertelagah sesama sendiri dan mula bersatu atas kepentingan agama, bangsa dan negara, landskap politik Malaysia boleh berubah.
“Jangan terperangkap dengan umpan ‘siapa PM’. Satukan dahulu kekuatan Melayu dan Islam. Bina kerajaan yang stabil dan adil untuk semua rakyat. Soal siapa PM, serahkan kepada proses demokrasi dan Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN










