Siapa tanggung kos jika harga minyak diturunkan lagi? – Anwar

Siapa tanggung kos jika harga minyak diturunkan lagi? – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan lagi harga bahan api kerana langkah itu akan memberi tekanan besar kepada kedudukan kewangan negara susulan subsidi petrol dan diesel kini menelan belanja kira-kira RM40 bilion setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuntutan supaya harga minyak dikurangkan sering tidak mengambil kira jumlah subsidi yang telah ditanggung kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, Malaysia masih antara negara yang menyediakan subsidi bahan api secara meluas walaupun tidak sepenuhnya bergantung kepada pengeluaran petroleum sendiri.

“Saya tidak tahu kenapa masih ada yang mengatakan saya tidak turunkan harga minyak. Orang tanya kenapa kita tidak kurangkan lagi harga minyak. Tetapi siapa yang akan bayar?

“Ada yang kata harga petrol perlu diturunkan kepada RM1.50 seliter, tetapi apabila kita cadangkan RM1.50 dahulu, harga petrol di Arab Saudi ketika itu sekitar 50 sen seliter,” katanya pada Sesi Libat Urus Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata, Malaysia masih mengimport hampir separuh keperluan petroleum negara, namun pengguna tetap menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter hasil campur tangan kerajaan.

Katanya, malah negara pengeluar minyak utama dunia juga menjual bahan api pada harga lebih tinggi.

“Di negara seperti Arab Saudi, harga petrol kini sekitar RM2.40 hingga RM2.50 seliter walaupun mereka antara pengeluar minyak terbesar dunia.

“Di Malaysia, setiap kali mengisi minyak kenderaan, terdapat subsidi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara membantu rakyat berdepan kos sara hidup dan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.

“Kita tidak mahu terus menambah hutang negara hanya untuk mengurangkan harga minyak lebih rendah.

“Kita perlu seimbangkan antara membantu rakyat hari ini dan memastikan kewangan negara kukuh pada masa depan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN