SPRM perlu teliti proses pelaburan KWAP - Anwar

SPRM perlu teliti proses pelaburan KWAP – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang unsur penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan pelaburan dana rakyat, termasuk membabitkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan, termasuk keputusan yang dibuat panel pelaburan sebelum dipersetujui oleh Lembaga.

“Dalam urusan perniagaan, walaupun ramai mempunyai pengalaman luas dalam bidang pelaburan, ia tetap tidak dapat menjamin kejayaan dalam semua pelaburan.  Ada kemungkinan kita akan mengalami sedikit kerugian. Namun, perkara yang saya ingin tekankan ialah kita sama sekali tidak boleh bertolak ansur jika berlaku penyelewengan atau rasuah.

“Sebagai contoh, Goldman Sachs adalah syarikat kewangan dan audit yang terkenal di dunia. Namun, apabila melibatkan soal kepentingan, mereka tidak melihat aspek nilai, akhlak dan pertanggungjawaban sebagaimana sepatutnya.

“Sebab itu, walaupun kita mempunyai pandangan sedemikian, SPRM tetap perlu meneliti proses pelaburan termasuk keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan dan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr. Hajah Wan Martina Wan Yusoff berhubung jaminan kerajaan terhadap keselamatan pelaburan dana rakyat serta langkah yang diambil bagi memastikan pelaburan masa depan dibuat dengan lebih selamat.

Pada masa sama, Anwar berkata, peluang pelaburan dalam syarikat pemula tidak seharusnya disekat semata-mata kerana syarikat berkenaan belum mempunyai rekod prestasi.

Katanya, setiap keputusan pelaburan perlu dinilai dan diteliti secara menyeluruh tanpa menganggap kepakaran atau kemahiran pakar-pakar dunia sebagai penentu kejayaan dalam semua bidang.

“Namun, kita tidak boleh terus menyekat syarikat-syarikat yang ada khususnya syarikat pemula (start-up). Jika kita hanya menggunakan rekod prestasi syarikat sedia ada sebagai ukuran, syarikat baharu seperti Zus Coffee tidak mungkin dapat dipertimbangkan untuk pelaburan.

“Justeru, panel pelaburan perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, menilai serta meneliti semula setiap keputusan dan tidak menganggap kepakaran atau kemahiran yang dimiliki oleh pakar-pakar dunia sebagai penentu kejayaan dalam semua bidang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN