Korea Selatan dapat bekalan 270 juta tong minyak mentah melalui Selat Hormuz - Utusan Malaysia

Korea Selatan dapat bekalan 270 juta tong minyak mentah melalui Selat Hormuz

GAMBAR fail kapal tangki minyak Korea Selatan berlepas dari sebuah pelabuhan di Ulsan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan telah mendapatkan bekalan lebih 270 juta tong minyak mentah melalui laluan yang tidak terjejas oleh sekatan Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz, kata seorang pegawai kanan pada Rabu.

“Dengan ini saya melaporkan kepada rakyat bahawa lawatan ke empat negara telah berjaya mendapatkan import sebanyak 273 juta tong minyak mentah sehingga akhir tahun ini,” kata Kang Hoon-sik, ketua kakitangan kepada presiden negara itu.

Menurutnya, jumlah itu mencukupi untuk lebih tiga bulan keperluan minyak Korea Selatan.

Beliau berkata demikian selepas beliau pulang daripada lawatan ke Kazakhstan, Oman, Arab Saudi dan Qatar.

Seperti banyak ekonomi Asia yang lain, Korea Selatan berdepan risiko yang semakin meningkat terhadap bekalan tenaganya sejak serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari mendorong Teheran untuk menutup selat tersebut.

Hoon-sik berkata, sekitar 60 peratus daripada import minyak mentah Korea Selatan tahun lalu melalui laluan perairan itu, yang mula disekat oleh AS minggu ini.

Beliau berkata, Seoul juga telah mendapatkan tambahan 2.1 juta tan nafta, komponen penting berasaskan minyak yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan plastik.

Jumlah itu bersamaan kira-kira keperluan import selama sebulan berdasarkan jumlah tahun lalu, kata Hoon-sik.

Bekalan kedua-dua bahan tersebut akan menyumbang secara langsung dan nyata kepada penstabilan penawaran serta permintaan domestik, tambahnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN