DBKL, agensi kurangkan insiden banjir kilat - Shahidan

DBKL, agensi kurangkan insiden banjir kilat – Shahidan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha mengurangkan kejadian banjir yang berlaku di ibu negara semalam berjalan lancar susulan 14 langkah interim yang diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi penguatkuasa yang lain.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pengoperasian pencegahan banjir kilat adalah berasaskan kepada 14 tindakan mitigasi banjir yang telah diumumkan sebelum ini sekali gus mengurangkan insiden banjir kilat di ibu negara.

Katanya, ini kerana DBKL melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan (JPBNWP) bersama rakan strategik seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan serta merta serta memantau rapi enam lokasi di Kuala Lumpur yang terlibat dengan kejadian banjir semalam.

“Berbanding kejadian-kejadian banjir kilat yang lalu, kali ini dengan perancangan, persediaan dan tindakan yang lebih rapi serta tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur semalam hanya membabitkan enam lokasi.

“Kejadian banjir kilat semalam menyaksikan langkah-langkah mitigasi yang diuar uarkan sebelum ini, menunjukkan keberhasilan apabila tempoh masa penyusutan air banjir yang bertakung di jalan raya menjadi lebih pendek iaitu kurang daripada 30 minit, malah tiada kenderaan terkandas dilaporkan.

“Ini juga adalah hasil daripada penggunaan pam-pam air mudah alih berkuasa tinggi dan berkuasa kecil bagi mengepam keluar air yang bertakung. DBKL menyediakan 120 pam air bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kejadian banjir kilat di ibu negara membabitkan enam lokasi iaitu Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu 3, Jalan Segambut, Jalan Dutamas 2, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas).

Menurut Shahidan, kejadian banjir kilat semalam juga tidak melibatkan sebarang perpindahan penduduk daripada kediaman masing-masing serta apa-apa kejadian melibatkan cerun atau tanah runtuh.

Katanya, pelaksanaan siren amaran banjir oleh JPS, pesanan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sistem Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) DBKL juga berjaya memberikan peringatan awal kepada semua warga kota yang terlibat untuk menghindari lokasi-lokasi banjir kilat.

“Bantuan warden trafik daripada PDRM juga telah berjaya menyuraikan dan melencongkan kenderaan ke jalan-jalan alternatif. Ini telah berjaya mengelakkan kenderaan dari terkandas dan kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Penggunaan 5,000 beg-beg pasir di tebing-tebing sungai pula telah berjaya menghalang limpahan air dari Sungai Klang dan Sungai Gombak ke kawasan kawasan terjejas terutamanya di Jalan Segambut dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nenas).

“Dalam hal ini, DBKL akan menambah lagi sebanyak 5,000 beg pasir untuk ditempatkan di kawasan-kawasan baharu yang dikenal pasti akan keberangkalian berlakunya banjir kilat serta di lokasi-lokasi sedia ada,” katanya.

Beliau menambah, dianggarkan seramai 500 anggota Task Force yang terdiri daripada kakitangan DBKL, APM dan PDRM termasuk sukarelawan telah dikejarkan ke lokasi-lokasi banjir kilat, antaranya untuk membantu aktiviti membersih dan melancarkan saluran (plogging) yang tersumbat dengan sampah sarap.

Ujarnya, agensi-agensi lain seperti PDRM dan JPS melalui JPBNWP telah membantu mengenal pasti kawasan-kawasan baharu yang berisiko atau berpotensi dilanda banjir kilat.

“Ia berjaya membantu pihak DBKL untuk bersiap siaga dengan kelengkapan dan menggerakkan tenaga ke kawasan terlibat sebelum banjir kilat berlaku.

“Pihak DBKL dan agensi-agensi JPBNWP akan meneruskan usaha seperti yang dirancang dan telah dilaksanakan bagi mengurangkan lagi kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya