barang mencukupi

Belum ada aduan ayam, sayur mahal – PPDNHEP Pulau Pinang

MOHD. RIDZUAN Ab. Ghapar (berdiri, kanan) ketika Majlis Sambutan Rancak Aidilfitri di tempat letak kereta Kompleks Sempilai Jaya, Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga ayam atau sayur-sayuran di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pada masa sama bekalan untuk kedua-dua barangan itu juga masih mencukupi di negeri itu buat masa ini.

“Berhubung kenaikan harga minyak masak pula, kita dapati bukan (kenaikan) minyak sawit tulen. Sebaliknya, hanya melibatkan  minyak masak jenis sebatian.

“Kami (PPDNHEP Pulau Pinang) akan terus menjalankan pemantauan terhadap harga dan bekalan barang-barang kawalan ini dengan dibantu oleh 63 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Rancak Aidilfitri anjuran pejabatnya di kawasan tempat letak kereta Kompleks Sempilai Jaya, dekat di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sebanyak 19,666 pemeriksaan telah dijalankan oleh PPDNHEP Pulau Pinang untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu 364 kes telah direkodkan dengan 269 kompaun bernilai RM95,000 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang paling banyak direkodkan ialah harga mahal dan tiada tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu dengan 184 kompaun berjumlah RM55,400.

“Kesalahan lain yang banyak direkodkan juga ialah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan 141 kompaun berjumlah RM37,100,” ujarnya.

Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya tidak akan lagi memberi amaran sekiranya mengesan sebarang kesalahan ketika pemeriksaan dilakukan sebaliknya akan terus mengambil tindakan seperti mengenakan kompaun dan sebagainya.

“Sehubungan itu, kita meminta semua peniaga supaya mengikut peraturan yang ditetapkan dan kami akan menggiatkan operasi harian untuk tujuan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN