IPOH: Pasukan penyelamat menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Siku, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, kaki bahagian kiri itu ditemukan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sekitar pukul 5.05 petang.
Katanya, bahagian tubuh berkenaan ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dihanyutkan arus deras kepala air.
“Bahagian tubuh tersebut dibawa turun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa ditangguhkan pada pukul 7 petang.
“Operasi akan disambung hari ini dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan pasukan dari Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pos Atap Baru di sini hari ini.
Menurut Muhamad Shahrizal, pihaknya akan menumpukan pencarian dengan menyelusuri laluan air sepanjang 800 meter.
“Pada operasi hari pertama semalam, pencarian kedua-dua mangsa merangkumi radius lima kilometer di mana anggota menyelusuri laluan air bagi mengesan kedua-dua pendaki terbabit,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku.
Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 30, dan Ng Yee Chew, 46.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa warga tempatan itu diaktifkan selepas pihak polis menerima maklumat pada pukul 6.50 pagi.
“Semasa kejadian pada pukul 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik. Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki berkenaan dengan dua daripada mereka dihanyutkan arus deras,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 22 anggota BBP Simpang Pulai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Turut membantu dalam operasi tersebut, pasukan polis termasuk pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, Jabatan Perhutanan Perak dan Pahang serta Kelab Rekreasi dan Komunikasi Radio Cameron Highlands (RCRC). – UTUSAN










