bertemu selepas 50 tahun

Badliyah bertemu semula kakak selepas 50 tahun terpisah

BADLIYAH Din (kiri) bersama Soid Bidin bercakap dengan kakaknya, Che Puteh menerusi panggilan WhatsApp di rumah mereka di Felda Padang Piol di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sambutan 1 Syawal tahun ini pasti cukup bermakna buat warga emas, Badliyah Din, 62, apabila usaha mencari kakaknya, Che Puteh yang terpisah sejak 50 tahun lalu berhasil.

Walaupun belum dapat bersua muka, namun Badliyah yang menetap di Felda Padang Piol di sini cukup gembira dapat berbual dan menatap wajah kakaknya yang tinggal di sebuah taman perumahan di Sungai Nibong, Pulau Pinang selama 20 minit menerusi panggilan video aplikasi Whats­App, semalam.

Badliyah berkata, apabila kisah mencari kakaknya tersiar di media cetak termasuk Utusan Malaysia, seorang individu meng­hubunginya memaklumkan bahawa Che Puteh berada di Sungai Nibong.

“Setelah terpisah pada 1973, saya langsung tidak pernah berjumpa Kak Teh dan memendam rasa rindu yang amat sangat terutamanya setiap kali Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Memandangkan usia kami sudah lebih 60 tahun serta masing-masing sudah berusia lanjut, ke­rap uzur dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT, saya bertekad mencari Kak Teh dengan menggunakan saluran media,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia pada 14 April lalu melaporkan kisah Badliyah yang terputus hubungan dengan Che Puteh hampir 50 tahun dan meminta kerjasama orang ramai mengesan keberadaan ahli keluarganya itu.

Menurut Badliyah, sejak semalam, dia dan kakaknya, sudah beberapa kali saling berhubung menerusi panggilan video Whats­App dan dapat menatap wajah masing-masing sambil melepaskan rindu.

Menyingkap bagaimana kakaknya menghilangkan diri daripada keluarganya, Badliyah berkata, kemungkinan Che Puteh ‘merajuk’ apabila arwah bapa dan ibunya tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai sudah mempunyai isteri.

Tambah Badliyah, selepas peristiwa itu, kakaknya dikhabarkan membawa diri meninggalkan rumah mereka di Kampung Pantai Perai, Kedah ke Pahang dan ada dalam kalangan ahli keluarganya memberitahu Che Puteh masih berada di Pulau Pinang sehinggalah ditemukan semula semalam.

“Saya bersyukur bercampur hiba kerana dapat bercakap dengan kakak dan dia sudah pun berusia 71 tahun dan kini mengalami kanser payudara tinggal bersama suaminya yang sudah berusia lebih 80 tahun,” katanya.

Badliyah berkata, dia dan suaminya, Soid Bidin, 69, merancang akan pergi ke Sungai Nibong selepas hari raya minggu depan untuk berjumpa dengan Kak Teh dan seterusnya membawa kakaknya bertaut semula dengan adik beradik lain kini masih menetap di Kedah dan Perlis.

“Saya amat sayang Kak Teh kerana sewaktu usia kanak-kanak, dia kerap berbelanja pakaian baharu selepas menerima gaji bulanan sebagai pekerja kilang di Pulau Pinang lebih lagi berkorban wang ringgit setiap kali menjelang Hari Raya Adilfitri.

“Ini antara nostalgia yang paling saya tidak dapat lupakan sehingga ini dan menyebabkan saya bertekad mencari Kak Teh untuk bertaut kembali dalam keluarga,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN