AS lulus pakej bantuan RM175.1 bilion kepada Ukraine  - Utusan Malaysia

AS lulus pakej bantuan RM175.1 bilion kepada Ukraine 

Perang Russia-Ukraine yang berlarutan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dunia. - GAMBAR HIASAN  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan pakej bantuan bernilai AS$40 bilion (RM175.1 bilion) untuk Ukraine bagi membantu Kyiv menangkis pencerobohan Russia.

Penggubal undang-undang AS mengundi untuk menghantar pakej bantuan itu kepada Ukraine ketika Washington memberi amaran Russia berkemungkinan melanjutkan operasi ketenteraan di negara itu.

Pakej pembiayaan yang merangkumi bantuan kemanusiaan, pertahanan, dan ekonomi diluluskan dengan menerima 368 undi majoriti berbanding 57.

Kedua-dua Parti Demokrat dan Republikan sudah mencapai persetujuan mengenai butiran pakej besar-besaran itu.

Pakej bantuan itu dijangka dibawa ke Dewan Senat hujung minggu ini atau minggu depan.

Dilaporkan, semua undi tidak bersetuju datang daripada barisan pemimpin Republikan.

“Dengan pakej bantuan ini, AS menghantar mesej kuat kepada dunia mengenai keazaman kami yang tidak berbelah bahagi untuk berdiri bersama rakyat Ukraine sehingga kemenangan diraih,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi sebelum pengundian itu.

Isnin lalu, pemimpin Kongres mencapai persetujuan untuk memperuntukkan lebih AS$6.8 bilion (RM29.7 bilion) daripada AS$33 bilion (RM144.5 bilion) yang diminta oleh White House untuk membantu Ukraine mempertahankan negara daripada pencerobohan Russia.

Bantuan kewangan itu termasuk tambahan AS$3.4 bilion (RM14.8 bilion) untuk bantuan kemanusiaan dan ketenteraan di samping pembiayaan diminta oleh pentadbiran.   

Sekiranya pakej bantuan itu diluluskan di Dewan Senat, perbelanjaan AS bagi memperkukuhkan pertahanan Ukraine  dan menangani krisis kemanusiaan susulan pencerobohan Russia akan melonjak sekitar AS$54 bilion (RM236.6 bilion).

* LANGKAH PENTING BANTU UKRAINE

Dalam pada itu, White House memuji dan menyifatkan keputusan pengundian itu sebagai `langkah penting’ ke arah membantu Ukraine `mempertahankan demokrasi negara mereka’ daripada pencerobohan Russia.

“Seperti dimaklumkan presiden, kita tidak boleh menangguhkan lagi usaha penting ini.

“Kami harap dapat bekerjasama dengan kepimpinan Senat agar pakej bantuan ini segera ditandatangani oleh presiden sekali gus dihantar ke Ukraine tanpa sebarang gangguan,” kata Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki.

Usaha pakej bantuan itu dibuat ketika seorang pegawai tinggi AS memberi amaran Presiden Vladimir Putin bersiap sedia untuk melanjutkan tempoh perang panjang yang mungkin tidak berakhir dengan kemenangan Russia di timur Ukraine.

*PUTIN LANJUT PERANG 

Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Avril Haines berkata, Putin tidak akan menamatkan perang di Donbas dan mendakwa Presiden Russia itu bertekad membina jambatan darat ke wilayah yang dikawal Russia di Moldova.

“Kami menjangka Putin sedang bersedia melanjutkan konflik di Ukraine kerana beliau masih bertekad untuk mencapai matlamat melampaui Donbas,” katanya dalam sesi pendengaran di Capitol Hill.

Tambah Haines, Putin berkemungkinan mengerahkan aset seluruh negaranya termasuk melaksanakan undang-undang tentera, dan berharap kegigihan itu akan memaksa Barat mengalah daripada terus membantu Ukraine.

* BANTUAN COVID-19

Sementara itu, kepimpinan Demokrat berharap dapat menggabungkan dana kecemasan Ukraine dengan dana berkaitan bantuan Covid-19 dalam pembiayaan baharu untuk ujian, terapeutik dan vaksin.

Cadangan itu dibuat ketika AS berdepan lonjakan kes jangkitan baharu Covid-19 dan kematian menghampiri sejuta kes. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN