AS hargai inisiatif Malaysia tangani isu buruh paksa

AS hargai inisiatif Malaysia tangani isu buruh paksa

M. SARAVANAN (kiri) bersama-sama Thea Lee ketika pertemuan di Washington DC, Amerika Syarikat semalam. - FOTO/IHSAN KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menzahirkan perasaan amat menghargai segala inisiatif kerajaan Malaysia dalam usaha pembanterasan isu buruh paksa warga asing.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, kuasa besar dunia itu juga bersedia meneruskan pelbagai kerjasama strategik dalam menghapuskan kegiatan berkenaan.

“Ini termasuk bersetuju menjalin kerjasama strategik menerusi penubuhan Jawatankuasa Kerja yang akan bertemu pada setiap tiga bulan,” jelasnya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau ketika ini dalam lawatan kerja ke Washington DC, AS bagi mengikuti program rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

Ketika di sana, beliau berpeluang menemui sendiri Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (US CBP), AnneMarie Highsmith.

Malahan, beliau juga mengambil inisiatif membuat pertemuan terus dengan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa, Jabatan Buruh AS (US DOL), Thea Lee.

Pada dua perjumpaan itu, Saravanan telah berkongsi inisiatif kementerian dalam menangani hampir keseluruhan indikator buruh paksa disenaraikan Badan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Namun, indikator perhambaan hutang menjadi satu-satunya cabaran kerana banyak kes berlaku di negara sumber tetapi beri implikasi negatif kepada penerima iaitu Malaysia,” katanya.

Sementara pelbagai indikator lain ujarnya, termasuk isu penahanan dokumen pengenalan diri, kerja lebih masa yang berlebihan dan penahanan gaji telah berjaya diuruskan oleh kerajaan.

Justeru katanya, jawatankuasa akan dibentuk itu, bakal memberikan fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa antaranya polisi dirangka yang menyokong inisiatif.

Selain itu ujarnya, US CBP dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada akhir bulan ini dan bersetuju mengadakan bengkel bersama para pemain industri dari seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN