Tiga rakan hidupkan semula tradisi lampu bintang - Utusan Malaysia

Tiga rakan hidupkan semula tradisi lampu bintang

ZULKIFLI Ahmad (kanan), bersama Azhari Zakaria dan Muhammad Syazwan Abu Bakar masih mengekalkan tradisi pembuatan lampu bintang sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi di Kampung Mutiara, Batu Feringghi, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiga sahabat di sini nekad meneruskan tradisi pembuatan lampu bintang menggunakan batang buluh hutan dan tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan sempena perayaan Aidilfitri nanti.

Zulkifli Ahmad, 42, bersama dua lagi rakannya, Azhari Zakaria, 48, dan Muhammad Syazwan Abu Bakar, 36, terpaksa bersengkang mata hingga lewat pagi demi memenuhi permintaan pelanggan terdiri penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi di sini sejak awal Ramadan lalu.

Menurut Zulkifli yang juga peniaga ikan bakar di Bazar Ramadan Batu Feringghi, mereka sedaya upaya mahu mengekalkan  warisan kesenian lampu bintang raya dengan memperkenalkannya kepada generasi muda hari ini.

“Majoriti pelanggan kami terdiri dalam kalangan anak muda tempatan yang juga penduduk setempat di kawasan ini. Alhamdulillah, lampu bintang raya masih mempunyai peminatnya tersendiri untuk dijadikan sebagai penyeri hiasan di luar pintu rumah menjelang Aidilfitri ini.

“Seni pembuatan tangannya  juga masih kekal sama cuma kami melakukan beberapa penambahbaikan dengan menggunakan plastik alas meja berwarna-warni supaya tahan lama dan hiasan lampu kelip-kelip diod pemancar cahaya (LED),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zulkifli memberitahu, permintaan terhadap lampu bintang dilihat sedikit berkurangan tahun ini berbanding sebelum  pandemik Covid-19, 2019 lalu.

“Sebelum ini, ramai pelanggan kami terdiri dalam kalangan kakitangan hotel berdekatan  akan menempah lampu bintang untuk dijadikan sebagai penyeri cahaya di ruang segenap lobi. 

“Berbeza tahun ini, lebih 30 tempahan diterima daripada individu terdiri penduduk setempat berbanding 50 biji lampu bintang ditempah setiap tahun sejak mula berniaga tahun 2018,” ujarnya.

Jelasnya, seni pembuatan hiasan Hari Raya itu sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu mengambil masa kira-kira lima jam untuk menyiapkan hanya satu lampu bintang.

“Kami juga akan memastikan bekalan buluh hutan mencukupi untuk kegunaan dalam tempoh sebulan dan memperolehnya di kawasan hutan Batu Feringghi,” katanya yang menambah, lampu bintang raya itu dijual pada harga RM90 sebiji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN