TEHERAN: Pasukan Iran menyasarkan tiga kapal kontena pada Rabu, merampas dua daripadanya, menurut pemantau keselamatan global dan Kor Pengawal Revolusi Iran, (IRGC) dalam insiden terbaharu yang mengancam laluan perdagangan penting di tengah perang Asia Barat.
Agensi keselamatan maritim Britain UKMTO berkata, sebuah bot bersenjata Iran telah menembak sebuah kapal kontena berhampiran pantai Oman pada Rabu, manakala sebuah lagi kapal di luar perairan Iran turut ditembak.
Menurut IRGC, pasukan tentera lautnya telah menghentikan dua kapal yang cuba melintasi Selat Hormuz dan mengarahkan mereka ke perairan Iran.
Ia menuduh kapal-kapal itu melanggar sekatan laluan tersebut yang dikenakan dalam perang Asia Barat yang meletus pada 28 Februari selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
“Kru-kru kapal kontena itu melaporkan bahawa kapal tersebut didekati oleh sebuah bot bersenjata IRGC yang kemudian melepaskan tembakan ke arah kapal, menyebabkan kerosakan teruk. Tiada kebakaran atau kesan alam sekitar dilaporkan,” kata UKMTO.
Ia menambah insiden berlaku 15 batu nautika timur laut Oman dan semua kru selamat.
Menurut firma keselamatan maritim Britain Vanguard Tech, kapal tersebut berlayar di bawah bendera Liberia dan telah dimaklumkan bahawa ia mempunyai kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.
Agensi berita Iran Tasnim News Agency melaporkan kapal itu mengabaikan amaran daripada angkatan bersenjata Iran.
Menurut IRGC, pasukan lautnya mengenal pasti dan menghentikan dua kapal yang melanggar peraturan di Selat Hormuz.
Dalam satu kenyataan, ia berkata, kapal-kapal itu dirampas oleh pasukan tentera laut IRGC dan diarahkan ke pantai Iran.
IRGC menamakan dua kapal yang dirampas sebagai MSC Francesca dan Epaminondas, menurut penyiar Iran IRIB di Telegram.
Ia mendakwa Francesca dikaitkan dengan Israel, manakala Epaminondas tidak mempunyai permit yang diperlukan dan didakwa mengganggu sistem navigasi.
Platform pengesan kapal MarineTraffic menunjukkan kedua-dua kapal kontena berhenti berhampiran perairan Iran pada Rabu.
Ketua Pertubuhan Maritim Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan dan rampasan itu sebagai tidak boleh diterima.
“Saya sekali lagi menyeru agar tindakan berbahaya ini dihentikan dan semua kapal serta kelasi yang tidak bersalah dibebaskan segera,” tulis Setiausaha Agungnya. Arsenio Dominguez di X.
Dalam insiden berasingan, sebuah kapal kargo lapan batu nautika di barat Iran ditembak sebelum berhenti, kata UKMTO dan menambah tiada kerosakan dilaporkan.
Vanguard mengenal pasti kapal itu sebagai kapal kontena berbendera Panama Euphoria, yang menurutnya sedang keluar dari Selat Hormuz.
Media Iran turut melaporkan kapal itu menjadi sasaran.
MarineTraffic kemudian menunjukkan Euphoria telah meninggalkan selat itu dan menuju ke Jeddah, Arab Saudi.
Ia berkata, Epaminondas dan Francesca dikendalikan oleh syarikat perkapalan berpangkalan di Switzerland MSC. Syarikat itu tidak memberi maklum balas.
Epaminondas digunakan dalam laluan India ke Pantai Timur AS dengan persinggahan di Emiriah Arab Bersatu.
Francesca pula beroperasi di laluan yang menghubungkan India, Teluk dan Mediterranean.
“Kedua-duanya terperangkap di Teluk Parsi sejak permulaan konflik”, menurut MarineTraffic.
Penghantaran melalui Selat Hormuz telah disekat ketat oleh Iran sejak perang dengan Israel dan AS bermula.
Namun, tentera AS pula melaksanakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
Presiden AS, Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa gencatan senjata dengan Iran dilanjutkan selepas ia mula berkuat kuasa pada 8 April. – AFP










