MARAN: Sebanyak 80 peratus daripada lebih 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) diarah bertugas dalam Op Raya Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata, baki 20 peratus lagi anggota JBPM dibenarkan bercuti setelah mengambil kira pelbagai faktor kemanusian seperti ‘hadiah’ kerana bertugas pada tahun lalu.
Katanya, anggota yang sedang bercuti perlu memaklumkan lokasi mereka kepada ketua balai atau pegawai atasan dan mereka boleh dipanggil bertugas serta-merta apabila diarahkan.
“Setakat ini tiada arahan pembekuan cuti anggota dan pegawai JBPM pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Iftar Ramadan Maran Bikers dan Singapore Biker bersama 183 anak yatim dan 117 ibu tunggal di Dewan Terbuka Tengku Muda Pahang di sini semalam.
Ismail berkata, pegawai dan anggota bomba akan membuat rondaan berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot‘ dan titik-titik panas berlaku kebakaran terbuka serta kawasan rekreasi tumpuan orang ramai sempena cuti sekolah dan cuti perayaan.
Menurutnya, ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan orang ramai pasti mengambil kesempatan pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga setelah dua tahun tidak dapat menyambut raya bersama dengan JBPM juga membuka Bilik Gerakan Negeri sempena Op Raya Aidilfitri tahun ini.
Ini kerana katanya, aliran trafik harian dijangka boleh mencecah lebih dua juta kenderaan sehari antara 29 April hingga 9 Mei ini berikutan keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung.
“JBPM siap siaga di lebuh raya terpilih bersama dengan barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) seperti tahun-tahun sebelum ini. Pada masa sama tanggungjawab utama terus diberi tumpuan bagi memantau kes pembakaran terbuka yang berlaku pada musim perayaan ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Maran.
Beliau berkata, kesemua jentera dan peralatan di balai-balai bomba sebanyak lebih 300 buah di seluruh negara sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk digunakan pada bila-bila masa.
“Pemeriksaan dan ujian berkala dijalankan agar jentera dan peralatan sentiasa dalam keadaan baik serta membuat latihan semasa yang berterusan di setiap balai. Dalam pada itu, rekod kebakaran ketika musim perayaan untuk lima tahun terdahulu dalam Op Raya Aidilfitri adalah menaik dan menurun. Bilangan kes kebakaran dalam tempoh 15 hari Ops Raya Aidilfitri 2017 sebanyak 1,238 kes, 2018 (1,686 kes), 2019 (1,143 kes), 2020 (966 kes) dan 2021 sebanyak 1,108 kes,” katanya. – UTUSAN










