TH umum laksana subsidi haji bersasar - Utusan Malaysia

TH umum laksana subsidi haji bersasar

Datuk Seri Amrin Awaluddin pada sidang akhbar pelaksanaan subsidi bersasar tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bayaran haji muassasah di bawah Lembaga Tabung Haji dinaikkan RM1,000 kepada RM10,980 bagi kategori B40 manakala kategori bukan B40 dkenakan bayaran sebanyak RM12,980, peningkatan RM3,000.

Peningkatan antara 10 hingga 12 peratus berbanding bayaran bagi tahun 2019 dan dua kategori jemaah merupakan antara langkah yang diambil Tabung Haji menerusi pelaksanaan subsidi kewangan secara bersasar buat kali pertama tahun ini.

Langkah tersebut akan menjimatkan TH sebanyak RM20 juta, meskipun terpaksa membelanjakan RM150 juta bagi menampung sebahagian daripada kos menunaikan ibadat haji tahun ini.

Untuk tahun 2022, TH menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah sebanyak RM25,540 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.

Bagi jemaah muassasah kategori B40, subsidi TH adalah sebanyak RM14,560 seorang (57%) manakala jemaah muassasah kategori lain turut menerima bantuan sebanyak RM12,560 seorang (49%), berbanding RM12,920 seorang pada tahun 2019 (56%).

Kos

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kenaikan kos haji tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan Covid-19 yang dikenakan oleh Arab Saudi.

“Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di tanah suci.

“Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji muassasah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Pangkalan data

Jelasnya, penetapan golongan B40 akan mengikut pangkalan data yang diguna pakai oleh pihak kerajaan.

“TH kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke tanah suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19.

“Jemaah haji diminta membuat persiapan dan melakukan pemeriksaan kesihatan. TH akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai Isnin ini bersamaan 25 April 2022,” katanya.

Bagi pemilihan jemaah haji kali ini, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022.

Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga telah dibuka dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×