Terlantar sejak lapan tahun lalu akibat gout - Utusan Malaysia

Terlantar sejak lapan tahun lalu akibat gout

ZAMBRY Abd. Kadir (kanan) menziarahi Ismail Nasib yang terlantar akibat menghidap penyakit gout kronik di Kampung Teluk Muroh, Pangkor di Lumut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang lelaki, Ismail Nasib, 57, hanya mampu terlantar sejak lapan tahun lalu akibat menghidap penyakit gout yang kronik.

Lelaki itu mula mengalami keadaan bengkak pada beberapa anggota badannya pada 2012 tetapi masih boleh bergerak walaupun dalam keadaan kesakitan sebelum dirawat di hospital selama dua minggu, dua tahun kemudian.

Selepas keluar hospital, keadaannya semakin teruk sehingga tidak boleh bergerak dan akhirnya hanya terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Teluk Muroh di sini.

“Saya pernah melakukan perubatan alternatif namun keadaan masih tidak berubah dan kini saya reda tidak boleh pergi ke mana-mana.

“Walaupun sedih saya percaya ada hikmahnya, seperti mungkin disebabkan keadaan ini, anak rajin belajar dan mendapat pekerjaan untuk menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan dan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di rumahnya di sini semalam.

Ismail pernah bekerja dalam bidang sajian makanan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut selama lebih 20 tahun sebelum berhenti disebabkan penyakitnya itu dan kini dijaga sepenuh masa oleh isterinya, Salbiah Masri, 58.

Menurut Ismail, isterinya sebelum ini berniaga makanan berhampiran rumah mereka tetapi dua anak lelaki mereka meminta Salbiah menumpukan perhatian terhadap penjagaannya.

“Anak saya sanggup menolak peluang menyambung pengajian kerana mahu bekerja bagi menanggung kehidupan kami sekeluarga.

“Kehidupan kami kini ditanggung sepenuhnya oleh dua anak lelaki kami dengan seorang bekerja di sebuah syarikat perlombongan bijih besi antarabangsa di Teluk Rubiah manakala seorang lagi bekerja di restoran popular dekat sini,” katanya.

Ismail turut menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) manakala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diberhentikan selepas anaknya mendapat pekerjaan pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN