fbpx

Terengganu kesal ‘pesta’ dangdut di hotel 

ANGKAP layar video berdurasi 25 saat yang memaparkan penyanyi berpakaian seksi dan mengghairahkan dalam makan malam tertutup bertemakan dangdut ala padang pasir di sebuah hotel di Kuala Terengganu, pada 25 Mac lalu.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri kesal dengan penganjuran program makan malam tertutup yang didakwa bertemakan pesta dangdut di sebuah hotel di sini, pada 25 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, situasi itu tidak sepatutnya berlaku kerana Terengganu memiliki Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan.

Sehubungan itu, katanya, pertemuan akan diadakan dengan pihak pengurusan hotel pada Ahad ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian yang tular.

“Kita beri ruang pihak berkenaan memberi penjelasan tetapi sepatutnya mana-mana penganjur kena tanya dahulu garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksana syariah.

“Yang kedua dari sudut umumnya, orang sudah tahu Terengganu ini sentimen agamanya tinggi, jadi jangan mencetuskan kemarahan rakyat dengan penganjuran program sedemikian,”  katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan penyanyi berpakaian seksi dan menghairahkan di samping beberapa individu menari di atas pentas dalam makan malam bertemakan dangdut ala padang pasir.

Penganjuran ‘pesta’ dangdut oleh kumpulan individu yang merupakan penduduk tempatan itu mendapat kecaman ramai kerana mencemar kesucian Ramadan menjelang sehari umat Islam berpuasa.

Sementara itu, menurut penganjur, makan malam berkenaan diadakan secara tertutup di hotel tersebut bagi sambutan ulang tahun kelahiran isteri rakannya dan tidak sepatutnya ditularkan.

“Saya tidak rasa apa yang kami lakukan itu salah kerana tidak pernah tahu tentang penguatkuasaan garis panduan larangan hiburan,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!