BANDAR BAHARU: Beberapa tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini, Rabu lalu didakwa memasuki kawasan sebuah taman perumahan dipercayai mencari pakaian di sini.
Penduduk mendakwa baki tahanan terbabit juga dipercayai kelaparan selepas mereka bersembunyi dalam kawasan hutan berdekatan.
Seorang penduduk, Mohamad Assraf Firdaus, 30, berkata, dia menerima maklumat dalam kumpulan WhatsApp mengenai seorang tahanan tersebut cuba mencuri pakaian di Taman Jawi Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang dekat sini petang semalam.
Menurutnya, jarak taman perumahan itu dengan Depot Imigresen Sementara Relau itu kira-kira lapan kilometer.
Bagaimanapun, katanya, difahamkan tahanan tersebut melarikan diri selepas mendapati penduduk tempatan menyedari kehadirannya.
“Penduduk percaya tahanan etnik Rohingya terbabit semakin terdesak termasuk mahu mendapatkan pakaian dan makanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, polis tidak menolak kemungkinan tahanan Rohingya yang meloloskan diri tersebut akan menyerah diri dalam masa terdekat.
Menurut beliau, tahanan terbabit tidak mempunyai bekalan makanan dan pakaian ketika meloloskan diri dari depot Imigresen tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad memberitahu, seramai 96 tahanan Rohingya masih lagi bebas swetakat pukul 6 pagi, hari ini.
Wan Hassan memberitahu, setakat ini, seramai 432 tahanan tersebut telah ditahan daripada 528 tahanan yang meloloskan diri.
Sementara itu, guru latih Pertubuhan Seni Silat Gayong Sundang Pusaka Relau, Mat Tarmizi Ahmad, 49. berkata, dia juga menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada kumpulan WhatsApp pada petang semalam.
Sehubungan itu, katanya, dia bersama beberapa ahli pertubuhan silat itu secara sukarela mengadakan rondaan dan kawalan keselamatan di beberapa kawasan di sini.
‘Tindakan yang diambil itu bertujuan membantu pihak berkuasa memburu baki tahanan Rohingya yang masih bebas dan menjamin keselamatan penduduk,” katanya.- UTUSAN










