PETALING JAYA: Suspek utama yang juga merupakan pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipercayai meraih keuntungan 50 peratus daripada aktiviti rasuah melibatkan projek bernilai lebih RM2.3 bilion.
Suspek yang berusia 35 tahun merupakan salah seorang daripada lapan individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin kerana disyaki berkomplot melakukan rasuah membabitkan projek penyelenggaraan milik GLC berkenaan.
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, pegawai eksekutif terbabit dipercayai individu yang bertanggungjawab menguruskan pesanan belian untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan.
“Mengambil peluang itu, suspek akan meminta proaksi untuk mencari syarikat-syarikat besar bagi mendapatkan projek penyelenggaraan berkenaan dan berperanan sebagai kontraktor utama.
“Sebaik projek berkenaan diperoleh, syarikat berkenaan kemudiannya akan melantik syarikat Sub Kontraktor (sub con) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pegawai eksekutif berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan itu.
“Hasil keuntungan yang diperolehi sub con akan dikongsi 50 peratus dengan pegawai eksekutif syarikat GLC berkenaan.
“Difahamkan, dianggarkan tiga sehingga lima syarikat subkontraktor yang mempunyai kaitan dengan pegawai berkenaan telah memperolehi projek-projek berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, seorang lagi Pengarah Urusan sebuah syarikat turut ditahan SPRM di Sarawak semalam bagi membantu siasatan.
Penahanan itu, jelas beliau, menjadikan sembilan individu ditahan sejak kelmarin iaitu lima di Putrajaya manakala tiga di Sarawak.
“Difahamkan, beberapa lagi tangkapan akan dilakukan SPRM bagi membantu siastan,” katanya.
SPRM sebelum ini menahan lapan individu terdiri melibatkan ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat sama yang dipercayai terlibat melakukan rasuah membabitkan projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku antara 2017 hingga 2021.
Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun tersebut masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.
Susulan daripada penahanan tersebut, beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas.
Turut disita ialah 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu. – UTUSAN










