Semak semula sistem FWCMS, gagal urus permohonan pekerja asing

Semak semula sistem FWCMS, gagal urus permohonan pekerja asing

SUKUMARAN NAIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa menyemak semula Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) kerana gagal menjalankan fungsinya dengan baik dalam urusan merekrut pekerja asing.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata,  setakat ini hanya 2,069 daripada 475,678 permohonan pekerja asing yang diluluskan dengan majikan-majikan belum menerima kebenaran untuk membayar levi berkaitan pengambilan tenaga kerja tersebut.

 Katanya, ia sekali gus menunjukkan sistem berkenaan sudah lapuk dan mengambil tempoh yang panjang bagi memenuhi keperluan buruh di Malaysia.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan para majikan sedang merintih ekoran masalah ini, bahkan Kementerian Sumber Manusia seakan-akan sedang menunggu sistem itu untuk berfungsi dengan sempurna.

“Sejak Januari lalu, tiada arah tuju jelas berkaitan arahan pengambilan pekerja asing dan sistem yang boleh memainkan peranan dengan baik bagi menguruskan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sukumaran berkata, ekoran masalah itu, pihaknya tidak pasti sama ada pekerja asing akan berjaya dibawa masuk ke dalam negara sehingga hujung tahun ini, sekali gus menyumbang kepada lebih ramai syarikat gulung tukar.

Justeru, beliau mencadangkan agar proses pengambilan pekerja asing dijalankan secara manual pada kadar segera dan tidak hanya bergantung kepada sistem tersebut semata-mata. 

Menurut beliau,  FWCMS adalah milik persendirian dan sebahagiannya adalah dimiliki Bestinet iaitu sebuah syarikat kontroversi berasaskan IT yang mengalami komplikasi undang-undang dengan Kerajaan Malaysia pada tahun 2018.

Katanya, mereka dikatakan mewujudkan begitu banyak halangan untuk membenarkan pekerja Bangladesh masuk ke Malaysia selain mengawal klinik perubatan di negara sumber dan juga prosedur Visa Luar Negara (VLN) biarpun Kerajaan Malaysia telah menghentikan prosedur tersebut termasuk Pemeriksaan Keselamatan Imigresen (ISC) di beberapa negara sumber.

Beliau berkata, sistem dan aplikasi seumpama ini harus dikendalikan oleh kerajaan dan bukan mana-mana syarikat swasta untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat peribadi, butiran syarikat, maklumat perbankan yang dikhuatiri berlaku penyalahgunaan kepada pihak ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya