Ubah dunia buku di tangan, bukan monitor dalam genggaman

Buku di tangan mampu mengubah dunia, bukannya monitor dalam genggaman

MENCARI pelapis generasi baharu pembaca kini menjadi cabaran buat kita. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika rencana ini tersiar pada hari ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang mula dibuka 29 Mei lalu berakhir hari ini .

PBAKL diadakan saban tahun dan kali ini yang ke-43, selepas beberapa kali berpindah lokasi.

Menggunakan perkataan pesta sedangkan ia hanya pameran buku yang banyak, menunjukkan penganjur ingin suasana meriah atau panggil sahaja kenduri buku dengan jumlah pengunjung dianggarkan mencecah dua juta orang setiap kali penganjurannya.

Apa sebenarnya pesta buku? Penganjur sering menguar-uarkan program tersebut bukan setakat pameran buku dan bahan terbitan tetapi satu perayaan kepada golongan penggemar buku.

Mereka datang mencari, membelek, mentelaah dan membeli buku pilihan selain menjadi penonton kepada program yang dianjurkan sejajar dengan pesta tersebut.

Pelancaran buku, antologi, program bual bicara, kupasan kandungan buku, persembahan deklamasi puisi antara yang mewarnai PBAKL saban tahun, sebab acara-acara itu sebenarnya bertujuan ‘menumpang’ pengunjung pesta tersebut.

Bermakna jika pengunjung sepanjang 10 hari program mencecah dua juta orang , maka anggaran kehadiran sehari kira-kira 200,000 orang, tidak kira pengunjung tersebut datang berulang kali.

Kata penganjur, antara objektif penganjuran PBAKL adalah menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang perbukuan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan, dan pemasaran buku.

Program tersebut juga bertujuan mempromosikan judul-judul terkini bahan terbitan tempatan, sama ada bahan bercetak mahu pun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dari dalam dan luar negara.

Namun objektif yang sangat mengujakan saya iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan buku sebagai pembekal ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan, menggalakkan tabiat budaya membaca dalam kalangan rakyat di semua peringkat, khususnya pada generasi muda dan institusi keluarga.

Buku adalah khutub khanah ilmu dan masyarakat atau bangsa yang ingin maju, rakyatnya mesti banyak membaca.

Masalahnya, adakah PBAKL sudah berjaya mencapai matlamat menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat.

Setakat ini, penanda aras minat membaca itu diukur daripada jumlah pengunjung tetapi kita tidak mengetahui sama ada pengunjung benar-benar benar beli buku atau sekadar berjalan mundir-mandir di celah celah rak pameran, tanpa menyentuh senaskah pun buku.

Sebenarnya peminat buku bukanlah yang bersikap demikian kerana inilah peluang mendapatkan buku kesukaan mereka.

Peluang itu bukan datang selalu, kerana lambakan buku berada di hadapan mata dan buku terbaik buat pembacanya akan memberi kesan dalam jangka panjang,

Banyak kisah-kisah lama menjelaskan sebegitu dan demikianlah kuasa senaskah buku.Dengan syarat bacalah buku tersebut.

Ada beberapa individu menjadi tokoh terkenal dunia kerana minat kepada pembacaan.

Dalam autobiografinya, seorang hamba yang menjadi penggerak kepada gerakan menghapus perhambaan di Amerika Syarikat (AS) pada abad ke-19, Frederick Douglass menulis bahawa tuannya, Hugh Auld, melarang isterinya mengajar Douglass membaca, kerana: Jika kamu mengajarnya membaca, kamu tidak lagi akan dapat mengawalnya. Ia akan menjadikan dirinya tidak lagi sesuai diperhamba.

Namun Douglass belajar sendiri dan apabila akhirnya mampu membaca, dia berkata “Once you learn to read, you will be forever free.”

Kata-kata ini bukan metafora, tetapi kebenaran sejarah. Membaca telah memecahkan rantai yang mengikat tubuhnya dan lebih penting, memecahkan rantai yang mengikat fikirannya.

Dan daripada kebebasan intelektual itulah lahir seorang pemimpin yang mengubah sejarah AS.

Kisah tersebut merupakan bukti bahawa membaca mempunyai kuasa luar biasa. Kuasa untuk mengubah kehidupan. Kuasa untuk mengubah masyarakat. Kuasa untuk mengubah dunia.

Bayangkan apa yang boleh berlaku jika setiap rumah menjadi rumah ilmu, setiap sekolah menjadi pusat pemikiran, dan setiap bandar menjadi kota bacaan.

Membaca ialah kuasa. Kuasa yang membina. Kuasa yang membebaskan. Kuasa yang mengangkat martabat manusia. Dan kuasa itu berada di tangan kita semua.

Satu lagi kisah yang tidak mungkin kita lupakan ialah Abraham Lincoln, Presiden AS ke -16 yang sangat suka membaca sejak kecil.

Namun kerana keluarganya miskin dan sekolah formal yang diterimanya sangat sedikit, Lincoln banyak belajar sendiri melalui buku. Beliau sanggup berjalan jauh untuk meminjam buku daripada jiran dan kenalan.

Pada waktu malam, Lincoln sering membaca di bawah cahaya lampu jalan kerana keluarganya tidak mempunyai kemudahan yang baik. Beliau juga terkenal suka mencatat dan menghafal petikan-petikan penting daripada buku yang dibacanya.

Minat membaca inilah yang membantu Lincoln menjadi seorang peguam, ahli politik dan akhirnya Presiden AS.

Moralnya, buku tidak menjadikan kita apa-apa atau siapa-siapa jika tersalah baca atau langsung tidak membaca. Ada kalanya, kita sekadar membaca sepintas lalu tanpa sempat memahami dan menilai.

Seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pelancaran PBAKL 2026 yang beliau sentuh adalah pemberian baucar buku Madani.

“Manfaatkan baucar buku itu dan pantau supaya anak-anak bukan sahaja beli dan simpan dalam almari, tetapi beli dan mula membaca.

“Paling ramai orang sekarang telah hilang minat membaca kerana dia membaca hanya media sosial, menjawab permasalahan yang kompleks dalam 20 perkataan, mencerca orang dan menolak dasar negara hanya dengan 40 perkataan,” kata Perdana Menteri.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, turut berkongsi pandangan berhubung tabiat membaca di negara asing. Kata beliau, di kota seperti Paris, budaya membaca warganya sangat menarik, iaitu anak-anak muda dan masyarakatnya lebih banyak meluangkan masa dengan buku di tangan berbanding melihat skrin di tangan.

“Mereka duduk di taman, di kafeteria, di ruang awam dengan sebuah buku dan penuh tumpuan.

“Dan apabila kita melihat keadaan ini, kita perlu jujur, kita membaca tetapi kita jarang benar-benar menelaah.

“Sebab itu, kita perlu jelas bahawa membaca bukan sekadar mengisi masa. Membaca membina fikiran. Dan tidak semua yang kita baca itu membina.

“Kita perlu memilih bahan yang berkualiti. Bahan bacaan yang mendidik, mencabar pemikiran dan menambah kefahaman,” ujarnya.

Kata beliau, kita tidak pernah terlewat dalam usaha membudayakan membaca. Kerana setiap kebangkitan tamadun dunia bermula dengan budaya ilmu dan pembacaan.

Maka buku bukan setakat naskhah atau lembaran lembaran kertas semata-mata, sebaliknya sebuah kuasa yang mampu mengubah dunia.

Maka, di sebalik keterujaan kita dengan jumlah pengunjung PBAKL saban tahun, perlu juga diketahui jenis buku yang dibeli dan dibaca dan siapa sebenarnya pengunjung ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) Adibah Omar pernah memberitahu saya, pihaknya mahu mencari generasi baharu golongan pembaca buku bagi mengambil alih peranan ibu bapa mereka. Ini cabaran baharu kerana angka sahaja tidak menjelaskan segala-galanya.

Baru-baru ini Adibah berkongsi dapat kajian impak Program Pemberian Baucar Buku Guru MADANI 2025, dan PKB bertindak sebagai agensi pelaksana utama yang menyelaras operasi penebusan baucar, kerjasama dengan penerbit serta penghantaran buku kepada 428,027 penerima di seluruh negara melalui platform digital dan rangkaian logistik. Antara dapatannya adalah 82.2 peratus penerima berpuas hati dengan pelaksanaan program pemberian baucar buku oleh kerajaan Madani. Ada beberapa dapatan lain yang ditandai dengan kejayaan angka semata-mata.

Mudah kata, inisiatif kerajaan membantu pemilikan buku sepatutnya tidak ada sebab, rakyat Malaysia memberi alasan mereka kurang membaca.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN