Bantuan RM205 juta kepada PMKS berdepan krisis bekalan global

Bantuan RM205 juta kepada PMKS berdepan krisis bekalan global

STEVEN Sim Chee Keong menyampaikan bantuan kewangan kepada wakil Koperasi Felda Ulu Tebrau Berhad sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Johor BahrU hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperkenalkan Program Sokongan Industri dan Perniagaaan Rakyat (Sinar) kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menghadapi cabaran susulan krisis bekalan global akibat konflik di Asia Barat.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program itu menawarkan bantuan kewangan berjumlah RM205 juta melalui empat inisiatif baharu kepada PMKS di seluruh negara bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, kerajaan memahami ramai usahawan berdepan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan pasaran susulan krisis bekalan global berpunca daripada perkembangan geopolitik dan geoekonomi dunia.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak boleh membiarkan PMKS berdepan cabaran ini sendirian.

“Melalui Sinar, kita mahu pastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan dan sokongan diperlukan untuk terus bertahan, berkembang dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Chee Keong, Sinar merupakan satu program baharu kementerian melalui SME Corp. Malaysia yang merangkumi lima inisiatif baharu meliputi bantuan kewangan.

Katanya, ia dibuka untuk permohonan mulai hari ini yang menyediakan akses kepada pembiayaan tambahan dan program pembangunan kapasiti bagi membantu PMKS mengekalkan aliran tunai, meneruskan operasi dan memperkukuh daya tahan perniagaan dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

“Tiga program pembiayaan dengan dana sehingga RM5 juta ditawarkan pada kadar keuntungan atau faedah antara 3 hingga 5 peratus setahun. Inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik bersama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT, dan Funding Societies.

“Selain itu, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif turut diperkenal sebagai program pembangunan kapasiti yang menyediakan geran sehingga 90 peratus. Geran ini bertujuan membantu mengintegrasikan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan serta meningkatkan kemahiran perusahaan mikro bagi membolehkan transformasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, PMKS yang hendak memohon hanya perlu mendapatkan pensijilan rasmi Status PMKS dimana kadar diskaun sebanyak 50 peratus bagi permohonan Status PMKS turut ditawarkan bermula bulan ini sehingga 31 Ogos depan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN