KUALA LUMPUR: Golongan gelandangan di negara ini perlu dibantu melalui akses lebih mudah kepada perkhidmatan asas seperti makanan, kesihatan dan kebersihan berbanding hanya dilihat sebagai masalah sosial yang perlu disingkirkan.
Ketua Projek Kajian Membangunkan Kerangka Fasilitasi Golongan Gelandangan di Pusat Bandar Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Alias Abdullah berkata, isu gelandangan bukan fenomena sementara, sebaliknya akan terus wujud seiring proses pembangunan dan pemodenan bandar.
Beliau berkata, sebahagian golongan itu dipinggirkan masyarakat manakala sebahagian lagi memilih untuk meminggirkan diri sehingga menjejaskan kualiti hidup mereka.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan mereka berdepan tekanan emosi, kemurungan dan masalah kesihatan jika dibiarkan berlarutan.
“Orang miskin dan gelandangan tidak akan hilang begitu sahaja kerana mereka sentiasa wujud dalam komuniti bandar. Apa yang penting ialah bagaimana kita mendekati mereka dengan perkhidmatan yang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Keutamaan perlu diberikan kepada aspek kesihatan dan kebajikan termasuk memastikan golongan itu mendapat makanan yang mencukupi setiap hari,” katanya ketika berucap dalam program berkaitan pembangunan kerangka fasilitasi golongan gelandangan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Alias berkata, penyelesaian jangka panjang memerlukan data dan proses profil yang lebih menyeluruh bagi membantu kerajaan merangka dasar khusus berkaitan gelandangan.
Katanya, pendekatan berasaskan hotspot atau lokasi tumpuan gelandangan juga perlu diperkukuh bagi memudahkan penyampaian bantuan secara lebih berkesan.
“Jika mereka tahu lokasi untuk mandi, mendapatkan pakaian atau bantuan lain, ia memudahkan kehidupan harian mereka dan memudahkan pihak berkaitan menyalurkan bantuan.
“Kita perlu melihat mereka sebagai sebahagian daripada komuniti yang boleh dibangunkan, bukannya golongan yang perlu diketepikan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan satu pendekatan lebih bersepadu melibatkan pelbagai agensi bagi menangani isu gelandangan, warga emas dan golongan rentan lain secara lebih sistematik.
“Usaha membantu golongan gelandangan selaras dengan prinsip pembangunan mampan yang menekankan tiada individu tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN










