Segera lulus pekerja asing - MKN

Segera lulus pekerja asing – MKN

MUHYIDDIN Yassin bergambar sebelum mempengerusikan MPN di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggesa  proses kelulusan permohonan bagi pekerja asing disegerakan dengan mengurangkan karenah birokrasi dan mempermudah serta menambah baik proses kelulusan bagi menampung keperluan industri yang mendesak. 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai langkah jangka pendek, majlis itu mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor terjejas. 

Katanya, dalam masa jangka panjang pula, isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh. 

“Cabaran besar adalah tidak ada pekerja mencukupi untuk kegiatan industri dapat berjalan lancar. Seperti disebutkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, waktu Covid-19 dan tiada pekerja asing masuk bantu turunkan buah kelapa sawit, dia rugi lebih RM10 bilion.

“Waktu sekarang pula harga sawit cukup tinggi. Kalau masih dilewatkan tiada pekerja asing, menambah kerugian besar kepada negara. Itu baru satu sektor sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat MPN, di sini hari ini. 

Beliau berkata, mesyuarat dimaklumkan sebanyak 163 daripada 4,561 permohonan kuota pekerja asing  diproses sehingga kini dengan kebanyakannya melibatkan sektor pembuatan dan perladangan. 

“Ia sedang dipertimbang untuk diluluskan dan belum lulus. Ada beribu lagi tidak dipertimbang dahulu. Jadi kita minta sebolehnya mungkin sebelum akhir tahun ini, sebahagian besar permohonan yang dikemukakan dapat diluluskan dan pengambilan pekerja asing dapat disegerakan.

“Kita diberitahu ada beberapa isu antara kerajaan Indonesia atau Bangladesh yang belum dimuktamad atau diselesaikan. Kita harap ia dipercepat untuk diselesaikan supaya pengambilan pekerja asing dari negara sumber tidak menjadi masalah kepada syarikat yang memerlukannya,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau berkata, majlis berpandangan supaya permohonan berhubung pekerja asing itu diluluskan 50 peratus terlebih dahulu bagi mengelakkan situasi terdesak. 

“Semua permohonan yang telah dikemukakan kepada One Stop Centre atau Kementerian Sumber Manusia mesti dipercepat. Kita beri pandangan supaya pada dasar apabila ada permohonan, elok luluskan 50 peratus dahulu.

“Jika mohon 100 pekerja misalnya, luluskan 50 peratus dahulu supaya tidak terdesak manakala baki itu boleh diperhalusi dan mungkin mengambil masa sedikit untuk diluluskan kemudian,” ujarnya. 

Ditanya mengenai penggunaan aplikasi MySejahtera, Muhyiddin berkata, majlis menyerahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kesihatan untuk mempertimbang sama ada digunakan lagi atau sebaliknya. 

Ujarnya, penjelasan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada mesyuarat itu menyatakan, sehingga sekarang KKM berpendapat ia masih perlu kerana banyak data diguna pakai untuk memastikan kawalan Covid-19 yang ketika ini berada pada tahap baik dan terkawal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN