KDM dahului parti lain umum calon PRN Sabah

Parti KDM sudah umum calon PRN Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mendahului parti lain dalam menamakan beberapa calon untuk bertanding bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Setakat ini, seramai 11 nama calon mewakili KDM sudah disahkan untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebahagian besarnya di kawasan mempunyai ramai pemilih dalam kalangan etnik Kadazan Dusun.

Antara nama awal yang dicalonkan KDM ialah Naib Presiden KDM yang juga bekas profesor madya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Dr. Gaim James Lunkapis yang akan bertanding merebut kerusi Tamparuli.

Turut dinamakan sebagai calon parti itu ialah Datuk Jeffry Mohd. Ali (Kundasang), Dr. Oswald Aisat Igau (Tulid), Mckery Victor Ninin (Moyog) dan Datuk Almudin Kaida (Pintasan).

Bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Saimpon pula dinamakan calon KDM untuk Kiulu, manakala penyanyi lagu Dusun Sabah, John Samud akan bertanding di Tempasuk. Bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Rusdin Riman menjadi pertaruhan KDM merebut kerusi Paginatan.

Selain itu, KDM turut menamakan bekas Ketua Cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kota Marudu, Josely Taising calon kerusi DUN Kadamaian.

Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda berkata, calon yang menjadi kepercayaan parti itu merupakan gabungan muka baharu dan lama yang terdiri golongan profesional, pemimpin muda dan berpengalaman.

“Melihat latar belakang serta pengalaman luas sahaja, sedikit sebanyak berupaya menempatkan mereka dihati pengundi. Ada antara mereka orang lama, pendatang baharu serta memiliki latar belakang pendidikan berbeza, namun bersatu dalam wadah perjuangan politik menerusi KDM.

“Pengumuman berperingkat bakal calon KDM dibuat awal memandangkan PRN Sabah akan berlangsung tidak lama lagi. KDM yakin bakal calon mewakili parti mampu meraih kejayaan dalam PRN serta boleh dipercayai,” katanya.

Sementera itu, teka-teki sama ada Wetrom akan kekal di kerusi Bandau terjawab apabila beliau mengesahkan bertanding di kerusi Matunggong pada pilihan raya itu kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN