SABAH akan beraya tidak lama lagi. Perayaan yang mahu disambut itu akan mencorakkan perjalanan politik negeri berkenaan. Namun begitu, kebanyakannya nanti juga akan menyambut perayaan mereka nanti iaitu perayaan Krismas.
Walaubagaimanapun, bagi mereka di mana pemimpin kepercayaan dan keinginan mereka berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, perayaan yang akan disambut akan menjadi lebih menyeronokkan.
Ia lebih-lebih kepada bakal-bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mengenderai negeri berkenaan.
PRN ini sebenarnya adalah pertembungan antara manusia yang perlu menawarkan sesuatu yang boleh menarik pengundi-pengundi untuk memilih mereka.
Sebenarnya apa yang ingin ditawarkan oleh calon-calon yang akan bertanding nanti?
Bagi kebanyakan calon yang diangkat oleh parti masing-masing, mereka telah ada pemilih tersendiri dalam kalangan akar umbi parti di sesuatu tempat.
Mereka mungkin telah bersedia untuk memilih pemimpin sebagai pembawa mesej pembangunan dari kawasan masing-masing.
Bagi setiap parti yang bertanding pula, lakukan kempen dengan sebaik-baiknya dengan menawarkan sesuatu realiti yang boleh dicapai oleh seseorang calon. Menjanjikan bulan di tangan kanan dan bintang di tangan kiri adalah sesuatu yang ajaib untuk direalisasikan.
Namun begitu, seperti biasa ada sahaja parti atau calon yang terdesak akan membangkitkan sesuatu yang akan memanaskan situasi.
Parti dan calon berkenaan perlu ditolak secara total. Jangan benarkan mereka membawa benih-benih perpecahan.
Sebagai pengundi bebas, gunakannya dengan sebaik-baiknya kuasa satu undi untuk memilih calon yang terbaik.
Sila pastikan dengan tidak memberi ruang lagi untuk memilih calon-calon terdahulu yang sewenang-wenangnya memain-mainkan kemenangan yang digapai dengan membuat tindakan meninggalkan parti yang membenarkan mereka bertanding demi untuk kepentingan diri.
Anda juga tidak perlu mengambil peranan bagi meyakinkan pengundi-pengundi yang lain. Biarkan petugas-petugas calon bertungkus-lumus bagi memenangkan calon masing-masing.
Kepada bakal Yang Berhormat, sila berikan perkhidmatan yang bermutu dan terbaik untuk membantu rakyat yang memilih tanpa sebarang alasan.
Anda layak, anda dipilih, anda berkhidmat dan anda akan diperlukan sepanjang masa.
Selamat menggunakan kuasa emas anda untuk memilih calon terbaik untuk mengemudi negari Sabah dalam tempoh lima tahun yang mendatang. – UTUSAN
IZUAF DAMHA CJ
Perak










