Impak dana kekayaan berdaulat kepada Sabah

Impak dana kekayaan berdaulat kepada Sabah

PERJANJIAN Malaysia 1963 (MA63) memberikan Sabah hak jelas terhadap pendapatan sumber asli namun selama bertahun-tahun hak ini tidak diagihkan dengan betul untuk pembangunan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENUBUHAN Dana Kekayaan Berdaulat Sabah ialah langkah penting untuk memastikan kekayaan negeri tidak lagi hilang dalam kitaran perbelanjaan jangka pendek dan percaturan politik wang ahli politik Sabah. Dana ini harus bertindak sebagai tabung simpanan jangka panjang yang memberi Sabah kekuatan fiskal yang lebih kukuh.

Dengan struktur yang betul, dana ini mampu menyokong pembiayaan projek strategik seperti pelabuhan, rangkaian tenaga, pendidikan tinggi, teknologi digital dan infrastruktur asas.

Setiap pelaburan bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi memperkukuh daya saing Sabah di Asia Tenggara.

Dana berdaulat memberi ruang kepada Sabah untuk mengurus hasil negeri secara lebih mandiri. Dengan memanfaatkan pendapatan daripada sumber asli seperti minyak, gas dan hasil hutan, Sabah boleh membina simpanan yang berterusan dan stabil.

Ini mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan persekutuan, membolehkan negeri membuat keputusan ekonomi secara lebih bebas.

Autonomi kewangan adalah langkah penting untuk mencapai pembangunan sebenar yang telah lama diidam-idamkan rakyat.

MA63
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memberikan Sabah hak jelas terhadap pendapatan sumber asli. Namun selama bertahun-tahun, hak ini tidak diagihkan secara betul, dimanfaatkan sepenuhnya atau tidak diterjemahkan secara optimum untuk pembangunan rakyat.

Dana berdaulat memberikan platform untuk memperkukuh suara Sabah dalam menuntut hak hasil negeri berdasarkan undang-undang dan perjanjian.

Dengan asas undang-undang yang kukuh, Sabah bukan sahaja menuntut hak, tetapi menguruskannya secara berkesan untuk generasi masa depan.

Pendapatan daripada royalti minyak, hasil hutan, tanah dan mineral boleh disalurkan terus ke dalam dana. Ini mewujudkan aliran tunai stabil dan berkekalan. Dana yang kukuh dapat ditumpukan kepada pelaburan strategik tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negeri.

Dengan strategi pelaburan yang teliti, keuntungan yang dihasilkan bukan sahaja mengukuhkan dana, tetapi menambah hasil negeri yang boleh digunakan semula untuk pembangunan rakyat.

Pemerkasaan MA63 melalui dana berdaulat memberi Sabah kekuatan moral dan legitimasi dalam rundingan antara negeri dan persekutuan. Sabah tidak perlu lagi bergantung kepada simpati politik. Sebaliknya, negeri tampil sebagai entiti berdaulat dalam pengurusan ekonominya.

Dengan pendekatan ini, rakyat Sabah dapat melihat kekayaan negeri dimanfaatkan secara sistematik, bukan hilang dalam sistem yang tidak telus.

POLITIK
Cabaran terbesar Sabah bukan ketiadaan kekayaan, tetapi ketidakstabilan politik dan tatakelola yang sering terdedah kepada ketirisan. Untuk itu, Dana Kekayaan Berdaulat Sabah mesti ditadbir secara profesional dan bebas daripada pengaruh politik.

Akta khas perlu digubal untuk memastikan dana ini dilindungi oleh undang-undang, dengan struktur yang menghalang ahli politik daripada mencampuri urusan pelaburan atau aset dana. Pemisahan kuasa adalah asas kepada keberkesanan dana.

Pengurusan dana perlu diserahkan kepada pakar kewangan bertaraf antarabangsa, bukan lantikan politik. Jawatankuasa bebas harus dibentuk untuk memantau prestasi, audit tahunan dan laporan awam wajib diterbitkan secara berkala. Ketelusan bukan pilihan tapi syarat wajib ke arah tadbir urus yang baik.

Rakyat Sabah berhak tahu ke mana wang negeri disalurkan, berapa pulangannya dan siapa yang bertanggungjawab ke atas setiap keputusan.

Ini penting kerana corak politik di Sabah berbeza dengan negeri lain kerana sering berlaku pertukaran kerajaan, perebutan kuasa, lompat parti dan amalan patronage. Tanpa sistem yang kukuh, dana berpotensi menjadi mangsa politik.

Namun dengan rangka undang-undang yang tegas, Sabah mampu memastikan dana ini kekal stabil, profesional dan bebas daripada kepentingan sempit. Ia menjadi mercu tanda baharu dalam integriti negeri.

KEMBALIKAN KEKAYAAN
Keuntungan dana perlu diagihkan secara teratur untuk dua tujuan utama iaitu simpan jangka panjang dan pelaburan strategik negeri. Struktur pengeluaran minimum perlu diwujudkan supaya dana tidak dihabiskan sesuka hati. Prinsip dana ialah “gandakan dahulu, guna kemudian.”

Pelaburan strategik mesti menjurus kepada projek yang memberi impak langsung seperti pendidikan berkualiti, hospital moden, pembinaan infrastruktur luar bandar, internet kelajuan tinggi serta pembangunan peluang pekerjaan.

Hasil dana perlu kembali kepada rakyat Sabah dalam bentuk kesejahteraan sosial dan peningkatan taraf hidup. Lebih banyak dana berkembang, lebih banyak manfaat yang diterima rakyat.

Pengagihan ini menjadi manifestasi bahawa Sabah benar-benar mengurus hasil negeri dengan tanggungjawab. Ia memulangkan kekayaan kepada pemilik sebenar iaitu rakyat Sabah, bukan golongan kecil berkepentingan. Dana ini menjadi bukti bahawa Sabah mampu mentadbir dengan amanah, disiplin dan nilai integriti.

POLITIK BIPARTISAN
Sokongan bipartisan mengurangkan risiko campur tangan politik dalam pengurusan dana. Ia menghantar mesej tegas bahawa dana ini bukan milik parti, tetapi milik rakyat dan negeri. Ini juga memberi keyakinan kepada pelabur luar bahawa Sabah serius dalam melaksanakan pembaharuan institusi.

Dengan ini, Dana Kekayaan Berdaulat Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan stabil. Ia menjadi projek perpaduan negeri yang memfokuskan kesejahteraan rakyat dan masa depan Sabah, bukan perbezaan politik.

PULIH INTEGRITI
Dana ini juga merupakan ujian moral terhadap integriti kepimpinan negeri. Sabah selama ini terpalit dengan rekod pengurusan hasil awam yang pernah sarat ketirisan. Justeru, dana ini merupakan peluang untuk memulihkan maruah negeri dan membuktikan bahawa rakyat Sabah layak menerima pengurusan aset yang jujur dan berprinsip.

Rakyat menuntut dana ini dipagari dengan undang-undang, diaudit secara bebas dan dikendalikan oleh profesional yang bertanggungjawab. Dana ini mesti menjadi simbol perubahan budaya politik Sabah, daripada budaya ketidakstabilan kepada budaya amanah dan integriti.

Kekayaan negeri tidak boleh lagi dibiarkan hilang. Ia perlu dipelihara untuk masa depan, bukan dimusnahkan demi keuntungan segelintir pihak.

Akhirnya, dana ini membawa misi besar iaitu mengembalikan kekayaan Sabah kepada rakyat Sabah. Segala hasil yang dikutip, segala keuntungan yang dijana, dan segala pelaburan yang dibuat mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Jika dana ini dilaksanakan dengan betul, ia bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi warisan berharga untuk generasi Sabah seterusnya. – UTUSAN

DR. Mohd. Amim Othman ialah pensyarah kanan dalam bidang pengurusan dan perancangan kewangan Islam di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN