PARLIMEN: ‘Kutu parkir’ boleh dikenakan tindakan tegas

PARLIMEN: ‘Kutu parkir’ boleh dikenakan tindakan tegas

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti kutipan bayaran tempat letak kereta secara haram atau lebih dikenali sebagai ‘kutu parkir’.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang melarang seseorang daripada berada di jalan atau tempat letak kereta bagi tujuan menahan, menjaga atau mendesak kenderaan lain dengan cara yang salah.

Katanya, pesalah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 119 Akta sama serta kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Letak Kereta) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Perkara 6 turut menetapkan hanya atendan letak kereta yang dibenarkan mengutip caj letak kereta daripada pemandu atau pemilik kenderaan motor,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN–Kuantan) mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau sindiket yang mengenakan caj parkir tidak sah di kawasan bandar utama termasuk kawasan tumpuan awam dan pelancongan.

Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) amat memahami kebimbangan rakyat terhadap kegiatan “kutu parkir” yang semakin berleluasa di kawasan tumpuan pelancong dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Beliau berkata, ‘kutu parkir’ lazimnya merujuk kepada individu atau kumpulan yang secara tidak sah mengutip bayaran tempat letak kereta awam tanpa kebenaran rasmi daripada PBT.

“Perbuatan ini sering menimbulkan rasa tidak selamat dan menjadi punca pertikaian antara pemilik kenderaan dengan pihak berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, bagi membanteras kegiatan itu, KPKT dengan kerjasama PBT telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif termasuk operasi khas dan rondaan berterusan di lokasi hotspot yang dikenal pasti sering menjadi sasaran kumpulan berkenaan.

“Selain itu, kementerian turut memanfaatkan teknologi melalui pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan keupayaan pengawasan serta mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.

“KPKT komited memastikan ruang parkir awam kekal selamat, teratur dan bebas daripada aktiviti pemerasan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN