PETALING JAYA: Etnik Rohingya dari Myanmar kekal mencatatkan jumlah pelarian paling ramai di Malaysia iaitu seramai 103,810 orang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga hujung Mac lalu.
Menurut data menerusi laman web UNHCR, jumlah itu menjadikan sebanyak 57 peratus pelarian Rohingya berada di negara ini daripada jumlah keseluruhan 182,120 pelarian dan pencari suaka politik berdaftar.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 67 peratus daripadanya lelaki dan 33 peratus adalah wanita, dengan kira-kira 45,800 daripadanya bawah usia 18 tahun.
Bukan itu sahaja, Myanmar adalah ‘penyumbang’ terbesar jumlah pelarian di negara ini dengan seramai 156,110 orang dengan 22,700 etnik Chin dan 29,600 kumpulan etnik lain dari negara itu, meliputi 1.1 juta pelarian Myanmar di seluruh dunia.
Selebihnya, kira-kira 26,000 pelarian dan pencari suaka politik daripada 50 negara yang melarikan diri daripada peperangan dan hukuman dari negara masing-masing, kini berada di negara ini.
Antaranya, 6,750 warga Pakistan, 3,750 warga Yaman, 3,320 warga Syria, 3,230 warga Somalia, 2,860 warga Afghanistan, 1,640 warga Sri Lanka, 1,200 warga Iraq, 780 warga Palestin dan lain-lain.
Selangor menempatkan jumlah pelarian paling tinggi dengan 70,101 orang diikuti Kuala Lumpur dengan 29,601 orang, Pulau Pinang dengan 19,737 orang, Johor (16,045 orang) dan Kedah (13,535 orang).
Terengganu pula mencatatkan seramai 6,699 pelarian, Pahang (6,218 orang), Kelantan (5,059 orang), Perak (4,047 orang), Negeri Sembilan (2,882 orang), Melaka (2,156 orang).
Hanya dua lokasi mencatatkan pelarian di bawah 1,000 orang iaitu Putrajaya (492 orang) dan Perlis (383 orang).
Sehingga kini, Malaysia belum meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Status Pelarian 1951.- UTUSAN










