Projek perolehan LCS dijamin lalui proses telus

Projek perolehan LCS dijamin lalui proses telus

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) beramah mesra bersama anggota TDM pada majlis berbuka puasa di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani semalam. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk memperkemas aset angkatan laut negara akan melalui proses yang telus tanpa berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

Beliau berkata, perolehan aset untuk pertahanan negara mesti dirancang dengan pendekatan luar kotak kerana isu pertahanan dan keselamatan serta rakyat tidak boleh dikompromi dengan wang ringgit dan politik.

Menurutnya, beliau bersama kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan tanggungjawab dan amanah tersebut dapat ditunaikan sebaik mungkin.

“Kita mahukan proses yang telus, tepat yang tidak ada ketirisan, tidak ada perkara-perkara penyalahgunaan kuasa atau rasuah kerana maklumlah ekonomi kita terpaksa berdepan cabaran pasca Covid-19 dan aset kita ini mesti dirancang secara pendekatan luar kotak.

“Jadi kita akan buat apa yang patut untuk memastikan tanggungjawab yang kita pikul, amanah yang telah pun diletakkan di atas bahu kita, akan kita tunaikan dengan sedaya-upaya kita mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Darat Malaysia (TDM) di Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 1,000 anggota dan pegawai TDM hadir pada majlis berbuka puasa itu.

Kelmarin, Kabinet bersetuju meneruskan projek perolehan LCS yang sebelum ini berdepan kelewatan berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM bagi memperkemas aset angkatan laut negara dan kesemua enam kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis iaitu Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).

Hishammuddin menambah, dasar perindustrian pertahanan sedang digubal pada masa ini selain Rang Undang-Undang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah dapat kelulusan Jemaah Menteri untuk dipinda bagi membantu pencarum serta membela nasib golongan veteran ATM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN