PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA) terhadap pengusaha premis hiburan dan pelacuran yang masih berdegil beroperasi ketika fasa endemik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D7, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya mengingatkan pemilik premis di seluruh negara agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, tindakan membuka premis secara curi-curi perlu dihentikan segera.
“Bagi premis yang masih beroperasi walaupun telah beberapa kali serbuan dibuat, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan sama ada membatalkan lesen perniagaan atau merobohkan premis yang diubah suai.
“Bagaimanapun, sekiranya masih terdapat lagi pengusaha yang berdegil, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas kumpulan sindiket ini menggunakan POCA” katanya ketika dihubungi semalam.
Individu ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA 1959 boleh direman sampai 21 hari dan 38 hari lagi tambahan jika diperlukan.
Premis hiburan
Dalam pada itu, menurut Mohammad Noor, sejak 2021 hingga Mac lalu, pihaknya menyerbu 1,396 premis hiburan di seluruh negara.
Ujar beliau, serbuan tersebut melibatkan 359 kelab atau pub; 350 bar; 160 pusat karaoke; 453 kafe; 70 parti persendirian dan empat kelab disko.
“Dalam pada itu, pihak polis turut menahan seramai 4,496 orang berkaitan premis hiburan dan pelacuran.
“Ia melibatkan 3,806 warga asing manakala 670 lagi adalah rakyat tempatan,” ujar beliau.
Selain itu, Mohammad Noor berkata, sebanyak 432 premis hiburan ‘haram’ kerana tidak mempunyai lesen iaitu melibatkan 291 bar, 90 pusat karaoke dan 51 kelab disko.
Jelasnya, premis-premis hiburan dan pelacuran berani beroperasi kerana mendapat permintaan daripada pelanggan.
Malah, sikap tamak pemilik demi mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda turut menjadi punca premis tersebut bergerak secara rahsia.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak bersekongkol dengan pemilik-pemilik premis serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat premis hiburan dan pelacuran yang beroperasi.
“Pihak polis akan terus menjalankan risikan dan operasi bagi memastikan pengusaha premis mengikut undang-undang ditetapkan,” ujar beliau.- UTUSAN










