Pesara tentera dipenjara 19 bulan perdaya wanita urusan beli kereta

Pesara tentera dipenjara 19 bulan perdaya wanita urusan beli kereta

MAT Isa Mat Dali dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas kesalahan memperdaya seorang wanita dalam urusan pembayaran pendahuluan pada 2015. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pesara tentera dijatuhkan hukuman 19 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang wanita dalam urusan pembayaran pendahuluan kereta, lebih enam tahun lalu.

Tertuduh, Mat Isa Mat Dali, 56, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, pada 12 Mei 2015, tertuduh telah memperdaya seorang wanita yang ketika itu berusia 31 tahun menyerahkan wang berjumlah RM3,500 ke dalam akaun bank milik tertuduh bagi tujuan pembayaran pendahuluan kereta jenis Perodua Alza.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Tertuduh ketika diminta untuk membuat rayuan oleh Majistret menyatakan penyesalannya dan berharap agar dikenakan hukuman yang lebih ringan memandangkan dia kini sedang menjalani hukuman penjara 13 bulan di Penjara Jelebu.

Tertuduh juga memaklumkan dia merupakan pesara tentera yang kini cacat selepas pernah ditembak semasa bertugas.

Dalam rayuan yang sama juga, tertuduh memaklumkan dia sudah pun menyerahkan kembali duit wanita berkenaan kepada bekas suami wanita tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi kemudiannya meminta Majistret memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret ketika menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh memberitahu, mahkamah mendengar rayuan tertuduh dan juga hujah pemberat Timbalan Pendakwa Raya serta kepentingan awam memandangkan tertuduh telah mengambil kesempatan ke atas kesusahan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN