PARIT: Hasrat seorang peniaga pasar malam memperoleh pendapatan melalui jualan mercun sempena Aidilfitri kali ini tidak kesampaian selepas ditahan polis kelmarin.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis di luar kediamannya di sini kira-kira pukul 11.50 malam.
Menurutnya, pemeriksaan awal pada badan suspek tidak menemukan apa-apa barang yang menyalahi undang-undang dan seterusnya membawa suspek memasuki kediamannya untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di dapur rumah suspek, pihak polis menemukan empat guni plastik berwarna putih mengandungi mercun bola serta lapan buah kotak berisi pelbagai jenis mercun.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian ruang tamu rumah tersebut menemukan 13 buah kotak berwarna coklat didalamnya berisi pelbagai jenis mercun. Anggota bertugas kemudiannya meminta suspek menyerahkan sebarang dokumen yang sah berkenaan pemilikan barang berkenaan.
“Namun suspek gagal menyerahkan atau menunjukkan sebarang dokumen atau lesen yang sah atas barang yang disyaki mercun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Barudin berkata, hasil soal siasat mendapati suspek membeli mercun berkenaan daripada seorang lelaki di Ipoh antara akhir Mac lalu hingga seminggu sebelum dia ditahan.
“Dalam tempoh sebulan, suspek membuat lebih kurang lima kali pembelian mercun sebelum ditangkap dengan anggaran setiap pembelian adalah RM8,000,” katanya.
Menurutnya, nilai rampasan mercun berkenaan dianggarkan sebanyak RM33,000 dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987. – UTUSAN










