Penduduk Relau kunci rumah elak diceroboh etnik Rohingya - Utusan Malaysia

Penduduk Relau kunci rumah elak diceroboh etnik Rohingya

Beberapa penduduk mengambil inisiatif melakukan rondaan mengesan saki-baki tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Kem Sri Intan, Depot Imigresen Sementara Relau malam kelmarin. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Lebih 4,000 penduduk di Mukim Relau di sini mengambil langkah keselamatan termasuk mengunci rumah mereka untuk mengelakkan  etnik Rohingya yang melarikan diri  dari Depoh Imigresen Sementara Relau di sini kelmarin menceroboh rumah mereka.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan tersebut masih menjalani kehidupan seperti biasa manakala pihak polis dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta melakukan kawalan dan memburu tahanan terlibat di mukim tersebut.

Kawasan Mukim Relau melibatkan Kampung Tengah, Kampung Padang, Kampung 300 kaki, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kilang Tebu, Kampung Ulu dan Kampung Paya Semambu.

Imam Masjid Annur Relau, Ishak Zakaria, 70, berkata, dia telah memberi nasihat kepada jemaah masjid tersebut supaya mengambil langkah keselamatan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Antara nasihat yang diberikan adalah meminta jemaah mengunci rumah untuk mengelakkan tahanan itu menceroboh rumah mereka sehingga mengancam keselamatan.

“Saya juga ingatkan jemaah supaya tidak meninggal kunci motosikal dan kereta kerana bimbang dicuri oleh tahanan itu untuk melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad memberitahu, jumlah keseluruhan tahanan di depot tersebut seramai 664 orang manakala mreka yang meloloskan diri pula seramai 528 orang dalam dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu.

Setakat ini, seramai 398 etnik Rohingya yang melarikan diri dalam kejadian itu telah berjaya ditahan semula.

 

Mengunci rumah

Seorang penduduk, Tahir Md. Amin pula berkata, dia telah mengingatkan ahli keluarganya supaya sentiasa mengunci pintu rumah selepas menyedari kejadian etnik Rohingya melarikan diri semalam.

Menurutnya, tahanan tersebut mungkin berada dalam kelaparan dan mereka mungkin cuba mengambil kesempatan untuk meroboh rumah penduduk berdekatan untuk mencuri makanan.

“Bagaimanapun penduduk masih bebas menjalankan aktiviti masing-masing tanpa berasa bimbang diancam oleh tahanan tersebut. Mereka mungkin bersembunyi di dalam kawasan ladang kelapa sawit dan hutan berdekatan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Khairuddin Othman, 29, berkata, dia terserempak dengan tiga tahanan etnik Rohingya kira-kira satu kilometer dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini pada pukul 8 malam semalam.

“Salah seorang tahanan itu memberi isyarat lapar dan meminta makanan selepas lolos dari depot tersebut pada awal pagi semalam.

“Bagaimanapun, tiga tahanan yang berusia 30 an itu kemudian melarikan diri dalam kawasan semak berdekatan selepas saya ingin memaklumkan kepada polis,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN