SUNGAI PETANI: Seorang pegawai dan 11 anggota polis yang kini digantung tugas dituduh semula di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan masing-masing, dua tahun lalu.
Mereka yang berpangkat inspektor, sarjan, koperal dan lans koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman dan Noor Fazlina Musa.
Tertuduh ialah Muhammad Shabri Salamat, 32; Syamsul Ismail, 29; S. Sarvindran, 30; Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 31; Khairol Nizam Mohamad, 36; Mohd. Arami Aluwi, 36, dan Muhammad Azri Zakariya, 37.
Lima lagi ialah G. Selva Kumar, 38; Wan Muneer Abdullah, 38; Muhammad Hazri Ramle, 42; Mohd. Fazly Long, 47, dan Mohd. Khairi Zakaria, 57.
Mereka dituduh semula hari ini setelah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret, di sini pada April lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan tanpa kebenaran memasukkan dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke dalam badan di sebuah premis di Aman Square, di sini antara pukul 4.20 pagi hingga 7.23 pagi, 2 Oktober 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md. Noor, sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, Datuk Suhaimi Ibrahim, Mohd. Khairul Fairuz Rahman dan Burhanudeen Abdul Wahid.
Majistret di kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan antara RM1,800 hingga RM2,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November sebagai tarikh pengurusan kes.
Pada 3 Oktober 2024, akhbar melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggantung tugas 12 pegawai dan anggota polis yang didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan. – UTUSAN










