Pembukaan sempadan diiringi sorakan, tangisan gembira - Utusan Malaysia

Pembukaan sempadan diiringi sorakan, tangisan gembira

SALAH seorang daripada ribuan rakyat Malaysia gembira sambil disambut oleh orang ramai ketika memasuki bandar raya Johor Bahru melalui Tambak Johor dengan berjalan kaki sebaik sahaja sempadan dibuka. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pintu masuk sempadan darat khususnya di Singapura dan lapan lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara diserbu orang ramai serta pelancong pada hari pertama pembukaannya semalam.

Suasana paling sibuk dapat disaksikan di Tambak Johor apabila ribuan pekerja Malaysia di Singapura menyeberanginya untuk melepasi Bangunan Sultan Iskandar buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 melanda pada Mac 2020.

Lima lagi pintu sempadan darat yang dibuka hari ini ialah Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor; Bukit Kayu Hitam (Kedah); Wang Kelian (Perlis); Tebedu dan Sungai Tujoh di Sarawak.

Sementara itu, seramai 10,000 pengembara dari luar negara dijadual tiba menerusi lapan pintu masuk udara sempena pembukaan sempadan negara, semalam

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datu Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu membabitkan ketibaan 110 penerbangan semalam

SORAKAN, TANGISAN KEGEMBIRAAN

Dua tahun ‘sunyi’ dan hanya dilalui kenderaan perdagangan, keadaan Tambak Johor yang menghubungkan Johor dengan Singapura kembali meriah.

Malah, tepat pukul 12 tengah malam kelmarin, orang ramai terutama rakyat negara ini yang mencari rezeki di republik itu berpusu-pusu mengambil peluang pulang ke tanah air sebaik sahaja pintu sempadan antarabangsa dibuka secara rasmi.

Sorakan, tangisan kegembiraan antara yang boleh didengari daripada lautan manusia yang melintasi sempadan yang teruja untuk bersama ahli keluarga yang sebelum ini hanya ditatap melalui skrin telefon.

Detik ‘kemenangan’ itu membuatkan mereka tidak sabar apabila sejak sebelum pukul 11.59 malam lagi bersedia di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura menuju ke Malaysia.

“Saya rindu segalanya tentang Malaysia, suasananya, keenakan makanan serta tempat pelancongan menarik di sini,” jelas Rosnah Din, 62, yang ditemui sebaik sahaja menyeberangi Tambak Johor.

Menurut Rosnah, kebenaran merentas sempadan dengan prosedur yang longgar sudah lama dinantikan untuk bertemu dengan ahli keluarga di Bukit Pasir, Muar setelah kali terakhir bertemu mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2019.

“Apabila kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, ada tiga kematian ahli keluarga di Singapura yang tak dapat dihadiri di Muar, kami berasa terkilan.

“Setelah mendapat tahu ada ahli keluarga di Muar yang jatuh sakit, saya tak fikir panjang dan buat keputusan untuk menyeberangi sempadan Johor-Singapura pada malam ini.

“Insya-Allah, kami akan pulang balik ke Singapura selepas dapat melepaskan rindu pada ahli keluarga di Muar serta dapat sambut awal Ramadan bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, warganegara Singapura, M. Murugan, 39, berkata, dia sudah siap berkemas untuk pulang ke Johor sejak seminggu lalu bagi bertemu isteri dan tiga anaknya yang berusia empat hingga sembilan tahun.

Katanya, dia banyak terlepas saat indah ketika anaknya membesar setelah dua tahun tidak pulang ke pangkuan keluarga di Kempas disebabkan tuntutan kerja.

“Apabila saya mendapat tahu pembukaan sempadan membabitkan kedua-dua negara, saya merasa sangat gembira kerana boleh bekerja seperti sedia kala dengan berulang alik ke Kota Singa ini.

“Saya akan gunakan peluang ini untuk meluangkan masa bersama anak-anak setelah mengambil cuti selama seminggu. Selepas itu, akan pulang semula ke Singapura. Saya belum pindah sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga, mana tahu sekiranya berlaku penutupan sempadan selepas ini,” katanya.

Di Sepang, Selangor pula, Masrurah Mohd. Hussein, 40-an, pula menyatakan rasa rindu untuk bertemu ahli keluarga dan tidak sabar menyambut bulan Ramadan di kampung halaman.

Masrurah ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, menerusi penerbangan dari Abu Dhabi.

Berasal dari Pulau Pinang, kali terakhir dia pulang ke tanah air dua tahun lalu.

Masrurah menetap di Abu Dhabi bagi menemani suami bekerja antara ‘mangsa Covid-19’ yang terpaksa memendam rindu mendalam terhadap ahli keluarga di tanah air.

Kini dengan pembukaan semula pintu sempadan selepas negara beralih ke Fasa Endemik, Masrurah tak lepas ‘mengucapkan’ rasa syukur kerana dapat berpijak kembali ke bumi Malaysia, bertemu ahli keluarga.

Penggembara dari luar negara melakukan ujian Covid-19 selepas kerajaan Malaysia membuka semula sempadan negara mulai 1 April dan memasuki fasa endemik ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

ISTERI, ANAK TERKANDAS DI JEPUN

Sementara itu di Bayan Lepas, penantian dua tahun seorang lelaki untuk bertemu dengan isteri dan anaknya yang terkandas di Jepun berikutan pintu sempadan negara ditutup berakhir selepas mereka disatukan semula.

Pertemuan penuh mengharukan antara Goh Wei Sing, 48, dan isterinya, Sakai Chi Eko, 48, dan anaknya, Sakai Go Yuna, 6, itu menjadi kenyataan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira pukul 1 petang semalam.

Wei Sing yang ternyata teruja menyambut isteri dan anaknya itu setia menunggu sejak awal pagi dengan jambangan bunga selepas difahamkan penerbangan Singapore Airlines yang dinaiki isteri dan anaknya dari Haneda, Jepun yang turut transit di Singapura beberapa kali mengalami perubahan jadual waktu penerbangan.

Menurut Wei Sing yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat automotif di sini, dia pulang untuk bekerja di Pulau Pinang selepas 20 tahun menetap di Jepun sebelum pandemik Covid-19 melanda kira-kira dua tahun lalu.

Ketika itu, katanya, isterinya yang merupakan warga Jepun dan anaknya tidak ikut bersama kerana merancang akan pulang kemudian, namun, terpaksa ditangguhkan sejak penutupan pintu sempadan negara.

“Sepanjang tempoh dua tahun lalu, hanya panggilan video yang menghubungkan kami dan hari ini saya sangat gembira dan tidak sabar untuk bertemu semula dengan isteri dan anak saya. Apa yang lebih menggembirakan saya juga adalah mereka selepas ini akan terus tinggal bersama saya di Pulau Pinang dan kami tidak akan terpisah lagi,” kata Wei Sing yang tinggal di Bayan Baru.

Keterujaan sama turut dikongsi seorang lagi anak jati Pulau Pinang yang menetap di Australia selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Permatang Pauh.

Jennifer Tan, 32, berkata, dia sebelum ini berkelana ke Australia bersama suaminya yang mendapat taraf pemastautin tetap di negara itu dan tidak dapat pulang selepas pintu sempadan negara ditutup.

“Saya memang menantikan detik ini untuk dapat pulang ke Malaysia kerana sudah lama tidak berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga lain. Malah, kepulangan saya hari ini juga akan menjadi kejutan kepada ibu bapa saya kerana mereka tidak tahu saya akan tiba hari ini,” katanya yang menambah, turut merindukan makanan tradisi Pulau Pinang sepanjang berada di Australia.

DUA TAHUN TAK JUMPA ANAK

Penantian seorang bapa bertemu anak sulungnya yang terkandas di Thailand selama dua tahun terubat apabila dapat bersua muka di Pos Imigresen Wang Kelian, Perlis.

Bagaimanapun, Khairul Anwar Aman, 36, yang datang dari Kuala Terengganu sejak kelmarin bagi menjemput anaknya, Nik Fandy, 6, bersama ibu mentuanya yang juga warga Thailand dan empat lagi ahli keluarga lain tertangguh apabila mereka tersilap melakukan ujian antigen (ATK).

Mengikut prosedur, pengembara yang memasuki negara ini perlu membuat ujian Reverse Transcriptase- Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) 48 jam sebelum melepasi sempadan dan kemudian melakukan ujian ATK apabila sudah berada di negara ini.

Khairul Anwar berkata, sebelum Covid-19, dia dan isterinya, Nik Robiah Deramen, 26, yang merupakan warga Thailand sering berulang-alik ke negara jiran itu.

Dia yang merupakan pemilik restoran memberitahu, ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anaknya yang berusia tiga tahun ketika itu berada Betong, Yala bersama ibu mentua seterusnya terkandas di sana.

“Sudah dua tahun saya tidak berjumpa dengan anak sulung saya, malah anak kedua saya yang dilahirkan semasa PKP pun tidak pernah bertemu dengan abangnya dan keluarga dari Thailand.

“Memang kami sangat rindu padanya dan selama ini kami hanya berhubung melalui panggilan video sahaja. Saya berharap sangat keluarga kami dapat disatukan semula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, dia yang tiba di pintu sempadan tersebut sejak pukul 7.30 pagi memberitahu, ahli keluarganya terpaksa pergi ke klinik semula bagi melakukan ujian RT-PCR seperti yang dikehendaki kerajaan Malaysia.

Tambahnya, akibat masalah tersebut, keluarga mentuanya terpaksa pulang ke Betong kerana ujian RT-PCR hanya boleh dilakukan di hospital kerajaan pada hari bekerja sahaja.

Dalam pada itu, Supee Ya-Koh, 32, menjadi pengembara pertama yang berjaya masuk di pintu sempadan Wang Kelian pada pukul 1.35 petang.

Dia bersama isterinya yang berasal dari Pattani, akan menuju ke Kuantan, Pahang selepas selesai melakukan ujian ATK bagi memulakan kerja di sebuah kedai makan.

“Sebelum ini memang kami bekerja di Kuantan dan terpaksa pulang ke Thailand akibat PKP. Saya bersyukur kerana sempadan dibuka semula memandangkan agak susah juga bila kami tak dapat datang ke sini untuk mencari rezeki,” katanya.

TIGA warganegara Thailand berjalan kaki melepasi pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

RAMAI PATAH BALIK, TERSADAI

Dalam pada itu, selain mentua dan ahli keluarga Khairul Anwar, perkara sama turut dilalui kebanyakan pengembara warga Thailand yang ingin memasuki Malaysia melalui pintu sempadan Wang Kelian.

Mereka terpaksa berpatah balik atau tersadai di sempadan ekoran kekeliruan dalam ujian pengesanan Covid-19 yang ditetapkan memasuki negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pos Imigresen Wang Kelian sejak pukul 7.40 pagi sehingga tengah hari mendapati, beberapa individu di negara ini menunggu ahli keluarga mereka dari Thailand untuk masuk ke negara ini.

Pintu sempadan Malaysia yang dibuka sejak pukul 8 pagi manakala 8.30 pagi bagi pintu pagar Thailand kelihatan agak lengang dengan hanya sembilan individu termasuk seorang warga Perancis cuba melepasi Pos Imigresen tersebut, namun gagal.

Bagaimanapun, empat warga Thailand yang bekerja sebagai nelayan di negara ini berjaya melepasi sempadan dan pulang ke negara jiran pada pukul 9.15 pagi.

Seorang warga Thailand, Anatee J. Sasn, 21, berkata, dia yang mahu menghantar adiknya untuk belajar di Mahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin, Kedah gagal untuk melepasi sempadan kerana tidak melakukan ujian saringan RT-PCR.

“Saya buat ujian ATK sahaja dan tidak tahu yang memasuki negara ini memerlukan ujian RT-PCR. Saya datang dari Krabi untuk hantar adik yang berusia 13 tahun masuk ke sekolah tahfiz.

“Saya ingat hanya perlu buat ATK di Thailand sebaliknya ia dibuat apabila sampai di Malaysia. Jadi saya akan buat ujian RT-PCR dan datang semula pada Isnin,” katanya.

Sementara itu, seorang pengembara warga Perancis dikenali sebagai Gills, 70, berkata, dia tidak dapat masuk di pintu sempadan tersebut kerana hanya dibuka untuk warga Thailand sahaja.

“Seminggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 saya telah pergi ke Thailand dari Malaysia kemudian terkandas di Thailand.

“Saya parkir bot saya di Langkawi dan mahu kembali ke bot tersebut kerana bimbang berlaku kerosakan. Pihak Imigresen memberitahu saya perlu pergi ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah,” jelasnya.

PINTU ICQS BUKIT KAYU HITAM LENGANG

Dalam pada itu suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini lengang pada hari pertama pembukaan sempadan Malaysia.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tidak banyak kenderaan dari negara ini dan Thailand yang melepasi pintu sempadan itu.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan SOP yang ketat dikenakan oleh kerajaan Malaysia dan Thailand bagi individu yang mahu masuk ke dua-dua negara itu.

Pengunjung yang masuk ke negara ini perlu melakukan RT-PCR (PCR) di Thailand dan mempunyai aplikasi MySejahtera serta membuat ujian pantas RTK-Ag (RTK) dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah (Kawalan), Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, pihaknya mendapati pergerakan keluar dan masuk pengunjung di Kompleks ICQS di sini dalam jumlah yang kecil sejak pintu sempadan dibuka pukul 6 pagi.

“Setakat pukul 10 pagi, kira-kira 10 orang yang masuk ke Malaysia dari Thailand manakala dari Malaysia ke negara jiran itu pula seramai 20 orang,” katanya ketika ditemui di ICQS.

Katanya, selain itu, seramai tiga pengunjung tidak dibenarkan masuk ke negara ini kerana tidak memenuhi syarat seperti tidak mempunyai insurans dan tiada aplikasi MySejahtera.

PERTEMUAN dua beranak, Noorasyikin Bunnawi dan ibunya, Siti Zubaidah Abdullah (kanan) yang terpisah sejak dua tahun di Bukit Kayu Hitam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Sementara itu, seorang rakyat Thailand, Siti Zubaidah Abdullah, 62, dari Trang berkata, dia mengambil peluang pembukaan sempadan Malaysia pada hari ini untuk bertemu dengan tiga anaknya yang tinggal di Malaysia selepas berpisah sejak tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, dia tertunggu-tunggu sempadan Malaysia dibuka kerana terlalu rindu bertemu dengan anak-anaknya.

Seorang lagi rakyat Thailand, Azman Ismail, 27, dari Pattani berkata, dia berpisah dengan saudara-mara yang tinggal di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia merancang untuk berada di Kuala Lumpur selama tiga minggu sebelum pulang semula ke Thailand.

“Rasa sangat gembira kerana dapat berpuasa bersama saudara-mara yang berada di Malaysia pada tahun ini,” katanya.

‘SEMPADAN KELANTAN-THAILAND BELUM BUKA RUPANYA’

Kemeriahan pembukaan sempadan darat negara di Perlis, Kedah dan Johor bermula semalam, namun hal itu tidak dapat dirasai penduduk di Kelantan kerana semua pintu masuk melalui negeri ini masih ditutup.

Setakat ini, kerajaan mengumumkan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand hanya melibatkan pintu masuk Bukit Kayu Hitam-Sadao di Kedah dan Wang Kelian-Wang Prachan di Perlis.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui maklumat itu apabila menunggu di ICQS Rantau Panjang seawal pukul 7 pagi untuk merentas sempadan.

Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang berkawal di ICQS tersebut memaklumkan kepada Utusan Malaysia, dianggarkan lebih 50 kenderaan diarahkan berpatah balik.

“Orang ramai yang mahu merentas ke Thailand ini menyangka pintu sempadan di Kelantan sudah dibuka sebagaimana di Perlis dan Kedah. Kami memaklumkan Kelantan tidak terlibat dengan pembukaan ini.

“Setakat ini, kami tidak mengetahui tarikh sebenar pintu sempadan di Kelantan dibuka. Saya terpaksa arahkan orang ramai supaya berpatah balik dan mereka akur dengan arahan ini,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui mengakui mereka hampa mendapati pintu pagar sempadan negara masih ‘ditutup’ rapat sebelum diarahkan anggota keselamatan supaya berpatah balik.

Warga emas mahu dikenali sebagai Pok Ya berusia 70 tahun berkata, selepas kerajaan mengumumkan pembukaan sempadan negara, dia tidak sabar mahu pulang ke Golok bertemu keluarga kerana sudah dua tahun terpisah.

5 JUTA PELANCONG SINGGAH JOHOR

Johor dijangka menerima kehadiran kira-kira lima juta pelancong asing pada tahun ini susulan pembukaan pintu sempadan antarabangsa sepenuhnya.

Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, kadar itu adalah 50 peratus daripada jumlah pengembara luar negara yang diterima sebelum kedatangan pandemik Covid-19 iaitu pada 2019.

Katanya, kemasukan pelancong asing itu dijangka tiba ke negeri ini melalui laluan udara, jalan darat melalui pintu sempadan Johor-Singapura mahupun dengan menaiki feri dan bot dari Indonesia.

“Bagi menyambut kehadiran pengunjung, Johor sudah melakukan persiapan membabitkan pemain industri dengan memberi latihan, galakan dan sebagainya untuk terus berdaya saing.

“Kita turut menggalakkan industri baharu dikenal pasti untuk membolehkan pasaran baharu dibuka malah turut mempromosikan industri inap desa di negeri ini.

“Di Johor, terdapat 27 perkampungan yang telah kita majukan untuk dijadikan projek rintis kemajuan inap desa di negeri ini. Kita tidak mahu industri ketinggalan menerima limpahan pengunjung ke negeri ini,” katanya.

Katanya, kehadiran pelancong asing itu adalah satu permulaan yang baik dan dijangka jumlah itu akan bertambah di masa akan datang melibatkan penerbangan dari pelbagai destinasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya