PETALING JAYA: Pelakon baharu, Zairi Aziz mendedahkan dirinya berdepan insiden kecil ketika menjalani penggambaran drama Dorm 403.
Demi menghidupkan watak, Zairi memberitahu wajahnya ditumbuk seorang pelakon drama tersebut ketika menjayakan babak pergaduhan di sekolah.
“Watak ini sangat ‘heavy’. Bukan sahaja emosi, tetapi juga fizikal. Saya kena betul-betul rasa sakit itu untuk hidupkan karakter.
“Ada babak saya dibuli, dipukul, malah kepala dimasukkan dalam plastik untuk dilemaskan. Ketika itu, salah seorang pelakon yang menjayakan babak itu tidak sengaja tumbuk muka saya sehingga berdarah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zairi yang berkongsi perkara itu ketika ditemui di Watch Party drama Dorm 403, Khamis lalu bagaimanapun tidak mendedahkan nama pelakon tersebut.
Walaupun berdepan detik cemas, Zairi menganggap pengalaman tersebut sebagai satu pembelajaran penting dalam membentuk dirinya sebagai pelakon yang lebih versatil.
“Sewaktu insiden, saya memang sakit, tapi itu pengalaman yang sangat berharga untuk saya. Saya anggap ianya sebagai pengalaman terbaik. Bukan semua pelakon dapat rasa benda macam ini,” jelasnya.
Berkongsi mengenai penglibatannya menerusi naskhah tersebut, pelakon itu turut memuji rakan pelakon yang banyak membantu sepanjang penggambaran, walaupun dia menyertai set di pertengahan.
“Untuk mencipta keserasian dengan setiap pelakon drama ini sangat senang. Saya terkejut dengan sokongan yang diberikan walaupun saya masuk ke set agak lambat.
“Mereka tidak menjadikan perkara itu sebagai satu isu sebaliknya membantu saya untuk bawa watak dengan lebih baik terutamanya, Dynas Mokhtar.
“Dia banyak ajar saya tentang disiplin, kamera dan cara kawal emosi. Banyak yang saya belajar daripada dia,” ujarnya. -UTUSAN










