'Muhyiddin ikut undang-undang mana'? - Isham Jalil

‘Muhyiddin ikut undang-undang mana’? – Isham Jalil

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peringatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berunding dahulu dengan gabungan itu untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen mencetuskan persoalan undang-undang mana yang diikut sehingga beliau perlu tunduk dengan permintaan sedemikian. 

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil berkata, sekalipun Perdana Menteri mahu merujuk kepada satu parti untuk menentukan waktu sebenar Parlimen dibubarkan, sudah tentu merujuk kepada UMNO dan bukannya parti politik lain termasuk PN terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

“Saya mahu tanya kepada Muhyiddin ini, dia ikut undang-undang mana yang kalau Perdana Menteri atau kita mahu bubar Parlimen kena rujuk pada dia (Muhyiddin) dahulu? Jadi, kalau ikut yang sebenarnya, itu atas budi bicara Perdana Menterilah untuk bubar atau sembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen. Buat apa rujuk pada parti lain? 

“Satu lagi, Muhyiddin ini sudah pergi merata-rata untuk mendapatkan sokongan untuk bekerjasama dengan parti lain dan sebagainya. Dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad jumpa, Datuk Seri Anwar Ibrahim dia pergi jumpa, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pun jumpa dan Mahathir kata Muhyiddin ini dia pergi jumpa sebab dia nak cari sokongan nak jadi Perdana Menteri balik? 

“Sebab itu kita boleh tengok macam mana dia ini sekejap semalam, dia pergi jumpa Perdana Menteri nak kerjasamalah, tapi di belakang dia jumpa orang lain minta nak sokongan nak jadi Perdana Menteri, nak jatuh Perdana Menteri sedia ada. Jadi, apa cerita ini? Ini yang saya kata kalau kita bekerjasama dengan pengkhianat macam inilah jadinya, sekejap lain, hari ini cakap lain, esok cakap lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi pautan video yang dikongsikan di Facebooknya hari ini. Video tersebut mendapat 2,100 tanda suka, 295 komen dan 209 perkongsian setakat berita ini ditulis. 

Tengahari tadi, Muhyiddin dalam satu kenyataan mengingatkan dan menegaskan Ismail supaya berunding dengan PN terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

“Saya juga antara lain mengingatkan Perdana Menteri bahawa PN sebagai parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen,” kata Muhyiddin.- UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN